AM

LAZADA LANCARKAN PAKEJ KICKSTARTER PENJUAL BAHARU HARI-HARIMAU 2022

23/02/2022 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Lazada Malaysia telah melancarkan Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022 untuk membantu perniagaan kecil tempatan beralih ke dalam talian, sekali gus merangsang pertumbuhan perniagaan memandangkan mereka masih dalam proses pemulihan.

Ketua Pegawai Operasinya Darren Rajaratnam berkata inisiatif itu disediakan untuk membantu syarikat kecil mengharungi cabaran suasana perniagaan yang semakin berubah, sementara ekonomi pulih secara beransur dan pelanggan menyesuaikan diri dengan kaedah pembelian baharu dan memanfaatkan perdagangan digital.

“Kami akan terus mengoptimumkan teknologi dan capaian kami untuk mencari pendekatan baharu dalam landskap perniagaan yang mampu menyokong komuniti usahawan yang lebih terangkum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut platform e-dagang itu, inisiatif berkenaan termasuk bantuan latihan, logistik dan insentif kewangan bagi membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi dan memperluas kehadiran mereka secara dalam talian, selain bersedia mencapai pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan.

Katanya penjual baharu yang menyertai Lazada bermula 22 Februari hingga 31 Dis, 2022 boleh memanfaatkan sepenuhnya rangkaian teknologi dan perkakasan digital inovatif Lazada, serta sokongan secara langsung untuk memudahkan pemulaan proses perniagaan dalam talian dan memperluas rangkuman pelanggan.

“Lazada akan menyokong penjual dengan meringankan kos operasi melalui kos pembukaan kedai dalam talian secara percuma, yuran komisen sifar peratus, pengecualian dua peratus bagi yuran pembayaran dan perkhidmatan penghantaran percuma.

“Kami juga akan membantu PKS memperolehi pelanggan baharu menerusi sokongan pemasaran seperti kredit iklan percuma untuk penemuan ditaja (bernilai RM150) dan Trafik dan Pendedahan Eksklusif di Laman Kempen Hari-Harimau,” katanya.

Mereka juga akan menerima akses percuma selama sebulan untuk menggunakan Pengurusan Libat Urus Pelanggan (Customer Engagement Management), sistem kemudahan premium yang membolehkan penjual Lazada berkomunikasi secara proaktif dengan pelanggan menerusi mesej yang diselaraskan khusus untuk pelbagai senario.

Ia sekali gus membolehkan mereka untuk menjangkau lebih ramai pelanggan dan memaparkan jenama perniagaan mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Selain itu, penjual akan menerima akses kepada pelbagai latihan dan sokongan platform menerusi Lazada University untuk mengembangkan perniagaan dan berjaya untuk jangka panjang.

Maklumat lanjut mengenai Pakej Kickstarter Penjual Baharu Hari-Harimau 2022 boleh dilayari di https://sellercenter.lazada.com.my/seller/helpcenter/hari-harimau-2022-new-seller-kickstarter-package-13970.html.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Lazada akan terus bekerjasama dengan badan kerajaan dan rakan niaga untuk membangunkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan pemulihan ekonomi kepada usahawan dan peniaga kecil di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan, Lazada telah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk melancarkan Kempen Beli-Belah Malaysia Dalam Talian dan Go-eCommerce selain kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Malah, Lazada turut berganding bahu dengan Invest Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor untuk menganjurkan empat kempen E-Bazar iaitu E-Bazar Raya 2020, E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021 bagi merangsang ekonomi negeri.

Selain itu, ia juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka untuk menganjurkan Melaka E-Bazaar pada Julai 2021 bagi menyokong dan menyemarakkan semula industri pelancongan tempatan yang amat terkesan akibat pandemik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan