BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
GEORGE TOWN, 6 Julai (Bernama) -- Operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua turut terpaksa dihenti tugas hari ini berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah Isnin lepas.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata LRA itu dihentikan operasi bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi dan langkah itu menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami gangguan serta terjejas bekalan air.
"Kita mendapat makluman LRA Kulim Hi-Tech dan LRA Bukit Pinang/Sungai Petani terpaksa dihenti tugas berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi dan LRA Sungai Dua juga menghadapi masalah yang sama serta terpaksa dihentikan selama empat jam pagi tadi.
"Air mentah dari Sungai Muda, Kedah telah tercemar dengan selut dan pasir keadaan ini telah menyukarkan pengoperasian sehingga menyebabkan loji rawatan tersebut (LRA Sungai Dua) tidak dapat berfungsi dengan baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa , di sini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Yeoh Soon Hin.
Chow berkata sebagai langkah segera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah mengalirkan air daripada Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai satu empangan penyimpanan air bagi menghadapi keadaan luar biasa itu.
Katanya air dari Empangan Mengkuang ini disalurkan ke LRA Sungai Dua dan loji berdekatan untuk meneruskan operasi loji supaya bekalan air bersih dapat sampai kepada pengguna.
"Pada waktu-waktu biasa PBAPP tidak menggunakan air dari Empangan Mengkuang kerana menggunakan sumber air dari Sungai Muda, Empangan Mengkuang mampu bertahan sehingga 100 hari untuk menyalurkan air kepada 85 peratus pengguna di seluruh negeri.
Pada masa ini kita tidak dapat menggunakan bekalan air dari Sungai Muda mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga air tidak lagi berselut di sungai ini,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan hari ini berkata PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang dapat dipulihkan menjelang pukul 12 tengah hari esok.
Jaseni berkata PBAPP telah menggerakkan kerja-kerja kejuruteraan tindak balas kecemasan berkaitan pengeluaran air di LRA Sungai Dua iaitu loji rawatan terbesar dan terpenting di Pulau Pinang selepas berlaku kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda melalui Terusan Sungai Dua ke loji itu direkodkan adalah 3,000 NTU pada 6 pagi hari ini.
"Ini adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi dan “kekeruhan normal” air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU. NTU merujuk kepada “Unit Kekeruhan Nephelometric” atau “Nephelometric Turbidity Unit”, unit yang digunakan untuk mengukur kehadiran zarah atau jirim terampai dalam air," katanya.
Menurutnya LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat yang dibekalkan di seluruh Pulau Pinang setiap hari, dan peningkatan mendadak dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah faktor yang di luar kawalan PBAPP.
"Namun begitu, PBAPP telah bertindak balas dan memberi respons terhadap situasi krisis ini pada masa tepat dan sesuai dan kami menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh negeri akan dipulihkan pada 12 tengah hari esok," katanya.
PBAPP akan terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda secara berterusan dan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang bagi memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial