AM

Merdeka Kuartet bantu promosi sambutan Hari Kebangsaan

05/08/2022 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Penubuhan Merdeka Kuartet adalah bertujuan membantu jentera publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam memotivasikan Keluarga Malaysia daripada semua kaum untuk turut serta dalam sambutan itu selepas dua tahun tidak diadakan secara besar-besaran.

Kuartet berkenaan terdiri daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong,  Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alaxender Nanta Linggi.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Datuk E. Sivabalan berkata penubuhan kuartet buat julung kali itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Rabu lepas.

"Kami akan mengenal pasti slot rancangan di televisyen dan radio untuk kumpulan Merdeka Kuartet  ini pergi secara berkumpulan dan menerangkan mengenai sambutan pada tahun ini. Saravanan dan Wee Ka Siong masing-masing akan menyampaikan maklumat dalam bahasa Tamil dan Mandarin.

"Ini satu daripada kemahuan politik kami. Menteri Kabinet akan bersama-sama rakyat dan menjadi inspirasi kepada Keluarga Malaysia," katanya pada rancangan Ruang Bicara bertajuk Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 terbitan Bernama TV, semalam.

Sementara itu, Sivabalan berkata penyertaan rakyat dalam sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini memberangsangkan selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Julai lepas. 

Beliau berkata ia terbukti apabila program Berjalan Teguh Bersama yang diadakan di Putrajaya, Sabtu lepas mencatatkan penyertaan 15,000 orang iaitu melebihi sasaran 10,000 orang. 

Mengenai kempen Kibar Jalur Gemilang pula, Sivabalan berkata Keluarga Malaysia diingatkan supaya mengibarkan bendera kebanggaan negara itu kerana ia merupakan simbol martabat dan penghormataan kepada semangat nasionalisme.

"Kami berharap Keluarga Malaysia akan kibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada baik di kediaman, premis perniagaan mahupun pejabat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan