MELAKA, 8 Ogos (Bernama) -- Sebagai antara negara terawal menyokong dan mengambil bahagian dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kerjasama Malaysia dalam kebudayaan dan pelancongan dengan China telah membuahkan hasil.
Menteri di Kedutaan Besar China di Malaysia Tang Rui berkata sejak 2012, China telah menjadi negara sumber pelancong terbesar Malaysia di luar ASEAN selama 10 tahun berturut-turut.
“Mengambil contoh pada 2019, Malaysia merupakan destinasi pelancongan luar kelapan terbesar bagi rakyat China. Sejumlah kira-kira 3.11 juta pelancong China mengunjungi Malaysia, menyumbang 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia.
“Pelancong China telah membelanjakan sejumlah RM15.3 bilion di Malaysia, menyumbang 17.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancong di Malaysia,” katanya berucap sempena Simposium Inisiatif BRI anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka Datuk Rais Yasin dan Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin.
Tang Rui berkata berikutan pandemik, sekatan perjalanan telah dilaksanakan dan beberapa acara tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang namun mereka menggunakan Internet untuk melakukan pertukaran dan kerjasama menerusi mesyuarat dalam talian dan penstriman langsung, menerobos batasan masa dan ruang yang mencapai hasil yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Dengan jumlah yang luar biasa dan pencapaian cemerlang ini, saya amat merasakan masa depan yang cerah dalam kerjasama kebudayaan dan pelancongan China-Malaysia dalam era pascapandemik.
“Saya percaya selepas pandemik, kerjasama kebudayaan dan pelancongan antara China dan Malaysia akan bertambah erat serta menghasilkan lebih banyak peluang. Diharapkan rakyat China dan Malaysia akan meningkatkan persefahaman dan persahabatan bersama menerusi pertukaran budaya dan aktiviti pelancongan, sekali gus menjadikan persahabatan China-Malaysia asas pengekalan hubungan dua hala,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial