EKONOMI

Agrobank-teraju meterai pembiayaan ESG bernilai RM70 juta bagi PKS Bumiputera

11/08/2022 08:55 PM

SERDANG, 11 Ogos (Bernama) -- Agrobank dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memeterai Perjanjian Kolaborasi Dana ESG “Financing for Agriculture’ bernilai RM70 juta bagi menyediakan pembiayaan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera dalam sektor berkaitan pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pembiayaan tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai usahawan PKS bumiputera mengguna pakai teknik dan teknologi pertanian moden dalam perniagaan berasaskan pertanian. 

Menurutnya, menerusi perjanjian tersebut, pihaknya menyediakan pembiayaan sebanyak RM30 juta bagi Pertanian Pintar dan RM40 juta bagi Jaminan Makanan untuk membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan mengurus (OPEX) kepada syarikat bumiputera yang layak.

“Pinjaman ini akan bermula 1 Sept ini…usahawan yang memohon akan mendapat manfaat kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh maksimum pembayaran balik sehingga 10 tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pertukaran Dokumen perjanjian bersama  Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Md Silmi Abd Rahman dengan disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Taman Expo Agro Malaysia (MAEPS) hari ini. 

Tengku Ahmad Badli Shah berkata pembiayaan itu juga boleh digunakan untuk tujuan pembelian mesin berteknologi tinggi seperti automasi penuaian, traktor autonomi, pembenihan dan dron yang boleh membantu meningkatkan produktiviti perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan.

"Agrobank sentiasa menyokong penuh inisiatif sebegini, selaras dengan agenda jaminan bekalan makanan negara dan penerapan amalan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) ke dalam sektor pertanian Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata suntikan teknologi maklumat (ICT) ke dalam perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan itu turut dapat menjamin peningkatan kualiti dan kuantiti pengeluaran sekali gus terus meningkatkan taraf hidup para pengusaha dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

Sementara itu, Md Silmi berkata TERAJU menyambut baik kolaborasi bersama Agrobank untuk mempelopori pembiayaan ESG yang pertama di Malaysia bagi mengalakkan ‘precision farming’ (pertanian keperisisan) yang merupakan penyelesaian mutakhir kepada pertanian secara konvensional.

“Sudah tiba masanya pengusaha bumiputera mengorak langkah seperti pengusaha di Thailand, Australia, Jepun dan Taiwan yang menggunakan teknologi untuk memberikan jaminan tuaian yang memberangsangkan serta merebut peluang kedudukan geografi kerana rantau Asia adalah pasaran makanan terbesar dunia,” katanya. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan