AM

SEBANYAK 117 PROGRAM DIRANGKA, 100,000 PENGUNGJUNG DISASAR KUNJUNGI JELAJAH AKM KEDAH

26/08/2022 11:57 PM

ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 117 program akan disediakan sebagai pengisian sepanjang tiga hari Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah dari 2 hingga 4 Sept depan yang menyasarkan 100,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun berkata berdasarkan program-program yang telah diatur selain persiapan rapi yang dilakukan, Jelajah AKM kali ini bukan sahaja mampu menarik ramai pengunjung tetapi mampu memberi manfaat yang diharapkan.

Beliau berkata berdasarkan kepada tinjauan dan juga promosi yang telah dibuat, pihaknya amat yakin penduduk Kedah akan datang berkunjung ke Jelajah AKM kali ini.

"Kami memang cuba untuk buat sebaik mungkin, kami beriltizam untuk menjadikan Jelajah AKM kali ini yang terbaik tanpa kita meninggalkan matlamat asal Jelajah AKM ini diadakan.

Sebenarnya sebanyak 117 program yang kita sediakan untuk orang Kedah ini, sebahagian besar tidak diadakan sebelum ini, unik untuk negeri Kedah," katanya dalam rancangan temu bual Ruang Bicara di Bernama TV, sempena Jelajah AKM Negeri Kedah, malam ini.

Beliau berkata KPLB yang bertindak sebagai kementerian peneraju bagi Jelajah AKM kali ini akan menerapkan konsep karnival rakyat dalam penganjurannya supaya rakyat dapat menyertai program-program yang diadakan dan bukan sekadar melihat apa yang dipamerkan.

Menurutnya, KPLB yang memiliki banyak agensi berkaitan usahawan di bawahnya akan menyediakan sebanyak 60 gerai untuk usahawan tempatan terlibat dalam Jelajah AKM itu untuk menjual dan memperkenalkan produk masing-masing.

"Selain daripada program yang diadakan di bawah khemah seperti ceramah, program demonstrasi masakan dan sebagainya, kita juga ada program di luar khemah, program berbentuk outreach, kita program memancing, program penglibatan pelajar GiatMARA, gunting rambut percuma dan membaiki motosikal percuma.

Kita juga ada program seperti ceramah perdana dan kita memanggil penceramah terkenal, kita juga ada program bersifat hiburan untuk orang muda, jadi kita harap semua program ini kita boleh menarik ramai pengunjung ke Jelajah AKM kali ini," katanya.

Ramlan berkata salah satu program menarik yang diperkenalkan pada Jelajah AKM itu juga ialah Jualan “Happy Hour” yang akan diadakan dua kali sehari dengan barangan keperluan seperti beras dan ayam dijual pada harga yang murah.

Selain itu katanya, acara yang dijangka paling dinanti-nantikan ialah cabutan bertuah sebuah motosikal untuk dimenangi setiap hari dan sebuah kereta sebagai hadiah utama pada hari terakhir menanti pengunjung bertuah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan