EKONOMI

Takaful IKHLAS-BSN jalin kerjasama pacu sektor perkhidmatan kewangan Islam

30/09/2022 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menjalin kerjasama bancatakaful terbaharu yang mampu memacu pertumbuhan perkhidmatan kewangan Islam di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata penyelesaian kewangan Islam terbabit akan ditawarkan kepada komuniti menerusi kerjasama lima tahun dengan Takaful IKHLAS yang menawarkan produk-produk takaful am kepada pelanggan runcit dan mikro BSN.

"Kerjasama ini akan menumpukan tiga bidang utama iaitu motor atau kenderaan, pemilik rumah serta kemalangan peribadi.

"Kami akan turut menyediakan keupayaan digital bersepadu bagi memastikan kelancaran proses serta transaksi berkaitan,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama terbabit di sini, hari ini.

Rudy Rodzila berkata, kedua-dua pihak akan saling berkongsi penyelidikan serta kepakaran bagi tujuan pembangunan selain mempromosi penyelesaian kewangan Islam yang inovatif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil berkata produk serta penyelesaian takaful am itu dapat membantu bank berkenaan dalam memenuhi keperluan kewangan pelanggan yang mahir serta celik teknologi dengan BSN memanfaatkan 390 cawangan di seluruh negara sebagai saluran pengedaran.

"Kami menjangkakan dapat melihat pulangan komitmen yang besar sehingga RM305 juta sepanjang tempoh kerjasama tersebut,” katanya.

Pelanggan BSN akan turut mendapat manfaat daripada inisiatif Takaful IKHLAS berasaskan nilai untuk komuniti yang dikenali sebagai program 'IKHLAS Waqf dan Endowment (IWE)' yang juga sebahagian daripada paltform pengumpulan dana patuh Syariah, IKHLAS Barakah House.

IWE berjumlah RM1,000 akan diwakafkan atas nama peserta yang meninggal dunia akibat kemalangan dan diserahkan kepada institusi wakaf dan endowmen pilihan Takaful IKHLAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan