AM

Anugerah Seri Angkasa 2022 di PICC pada 29 dan 30 Okt

18/10/2022 03:00 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Malam Anugerah Seri Angkasa (ASA) dan Majlis Kemuncak ASA 2022 akan diadakan secara gilang-gemilang pada 29 dan 30 Okt ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

“ASA amat dinantikan oleh pemain industri. Kita mahu anugerah ini diadakan secara gilang-gemilang biar sama macam Festival Filem Cannes.

“Biar ada karpet merah…biar anugerah ini nampak glamor dan industri kita hebat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak ASA 2022 di sini hari ini.

Anugerah Seri Angkasa ialah anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 1972 bagi menghargai penggiat industri seni dan penyiaran. 

Mengenai ASA 2022, Annuar berkata sebanyak 1,354 daripada 1,586 pencalonan yang dikemukakan untuk ASA 2022 menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Daripada jumlah pencalonan yang telah menepati syarat itu, sebanyak 1,035 pencalonanan adalah bagi Kategori Televisyen, 276 Kategori Radio dan 43 untuk Kategori Media Baharu.

Antara stesen media yang menyertai pencalonan ASA 2022 ialah Alhijrah Media Corporation, Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Seramai 55 juri dan dua juruaudit terdiri daripada pemain industri yang berpengalaman luas dalam industri akan menilai kesemua pencalonan dengan adil dan telus,” katanya.

Beliau berkata para pemenang pada ASA 2022 bukan sahaja membawa pulang trofi kemenangan tetapi juga buat julung kalinya mereka akan menerima hadiah berbentuk wang tunai bagi setiap kategori yang dimenangi. 

Tokoh Anugerah Seri Angkasa 2022 dan Tokoh Anugerah Khas Juri masing-masing akan turut diberikan hadiah berupa wang tunai, katanya.

Dua pemenang kategori utama iaitu Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik juga akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) masing-masing sebanyak RM200,000 dan RM150,000. 

“Saya ingin menjemput semua untuk hadir ke anugerah itu, namun diingatkan untuk sentiasa mematuhi etika pakaian ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan