AM

Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai dihempap tiang elektrik

29/11/2022 09:00 PM

ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi rakannya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar Changlun di Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang tadi.

“Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan berhubung kejadian tiang elektrik terjatuh dan telah menghempap kanak-kanak. Dipercayai, ketiga-tiga mangsa telah bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di bahagian tepi jalan sebelum tiang berkenaan jatuh dan menghempap kesemua mangsa.

“Sebaik anggota bomba tiba, kesemua mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut. Dua mangsa yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke Hospital Jitra manakala mangsa yang meninggal telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kesemua mangsa berusia antara 10 dan 11 tahun.

“Mangsa yang maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian paha dan pinggang telah dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan