AM

Koperasi Digesa Rebut Peluang Sempena Tahun Melawat Kedah 2025

25/07/2024 07:35 PM

ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mahu koperasi di Kedah merebut peluang baharu, khususnya dalam sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi SKM Left Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata langkah itu dilihat dapat menjana pendapatan konsisten kepada ahli koperasi yang terlibat seterusnya mampu melonjakkan daya saing negeri Jelapang Padi itu.

Beliau berkata gerakan koperasi di negeri ini mempunyai kepelbagaian sektor untuk diterokai seperti pertanian dan industri mikro yang boleh digembleng bagi menarik minat pelancong.

“Tahun depan ialah Tahun Melawat Kedah dan pada 2026 pula Tahun Melawat Malaysia, maka kami memerlukan koperasi di Kedah ini untuk mengandakan usaha. Pencapaian koperasi yang melibatkan industri mikro iaitu 70 peratus di luar bandar turut menunjukkan peningkatan,” katanya.

Ahmad Norihan berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Negeri yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Salleh Saidin.

Sementara itu, Ahmad Norihan berkata SKM Kedah diminta sentiasa memantau koperasi yang ‘layu’ atau kurang aktif selain berusaha menarik lebih ramai masyarakat menyertai gerakan koperasi.

“Bukan semua orang tahu mengenai koperasi, bukan semua melihat koperasi sebagai satu platform untuk komuniti, koperasi sebenarnya satu keperluan yang perlu ada dalam komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan