DUNIA

Brazil tewaskan Korea Selatan 4-1, berdepan Croatia di suku akhir Piala Dunia FIFA

06/12/2022 11:19 AM

ISTANBUL, 6 Dis (Bernama) -- Brazil menewaskan Korea Selatan 4-1 pada Isnin dan dijadual menentang Croatia pada suku akhir Piala Dunia FIFA 2022, lapor Agensi Anadolu.

Brazil memecah kebuntuan seawal minit ketujuh di Stadium 974 menerusi jaringan pembukaan Vinicius Jr dan dibantu oleh Raphinha.

Enam minit kemudian, Richarlison dijatuhkan oleh Jung Wooyoung dan pengadil memberi sepakan penalti.

Neymar berjaya menyempurnakan sepakan penalti dengan rembatan kaki kanan.

Pada minit ke-29, rembatan kaki kiri Richarlison dari tengah kotak penalti berjaya menjadikan kedudukan 3-0.

Lucas Paqueta menghasilkan gol keempat pada minit ke-36 Selecao selepas dibantu Vinicius Jr.

Korea Selatan menjaringkan gol tunggal mereka menerusi Paik Seung Ho dengan sepakan jarak jauh yang bergaya pada minit ke-76.

Dengan keputusan ini, Brazil bakal menentang Croatia, yang menyingkirkan satu lagi pasukan dari Asia, iaitu Jepun 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung di Stadium Kota Pendidikan Doha pada 9 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan