EKONOMI

US Pizza rangkul Anugerah Francaisor Harapan Terbaik 2022

14/12/2022 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Berani dan inovatif dalam mencipta piza yang diselitkan dengan cita rasa tempatan, membawa kejayaan kepada US Pizza apabila memenangi Anugerah Francaisor Harapan Terbaik bagi Tahun 2022 (Emas) pada majlis Anugerah Francais Malaysia (AFM) ke-24 oleh Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Pemilik restoran US Pizza di Malaysia Jeremy Hiew dalam kenyataan Selasa berkata anugerah yang diterima Khamis lepas itu menekankan komitmen pasukan dan usaha berterusan dalam menyumbang untuk menghasilkan jenama yang inovatif, sekali gus menyerlah dalam kalangan pesaingnya.

 “Kami suka menjadi kreatif dan menyepadukan cita rasa tempatan ke dalam piza kami dari semasa ke semasa. Pelanggan tertarik dengan piza bukan konvensional kami. Maklum balas positif juga mendorong kami untuk terus mempromosikan perisa tempatan.

“Kami sangat gembira kerana menerima pengiktirafan itu dan pastinya ia berita terbaik yang disampaikan kepada kami sebelum 2022 melabuhkan tirai. Demi terus melangkah ke hadapan, kami akan kekal fokus, gigih dan komited serta tidak akan berhenti mencipta dan meningkatkan pengalaman pelanggan melalui ciptaan kami,” katanya.

Hiew berkata sikap berani dan inovatif dalam mencipta piza ialah elemen penting yang menyumbang kepada pertumbuhan eksponen perniagaan pada tahun-tahun sebelumnya memandangkan pihaknya menyasarkan untuk melancarkan menu baharu setiap tiga bulan untuk mengikuti permintaan pasaran dan mendapat kepercayaan daripada francaisi.

“Beberapa piza popular yang dicipta dalam dua tahun lepas ialah piza Cendol, piza Cempedak, piza Durian, piza Telur Masin, menjadikan US Pizza lebih dikenali dalam mengukuhkan kedudukan jenama. Sehingga kini, terdapat lebih 80 pilihan yang lazat pada menu kami,” katanya.

Selain itu, Hiew berkata US Pizza meraikan cawangan luar negara pertama di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, yang merupakan restoran pertama di luar Malaysia sejak pengambilalihan perniagaan.

“Kami turut menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan ke negara seperti Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Berkongsi kenangan indah sewaktu mengunjungi kedai US Pizza pada zaman kanak-kanaknya di Pulau Pinang, Hiew berkata beliau berjaya mengambil alih perniagaan itu pada 2015 selepas mengetahui tentang persaraan pengasas syarikat itu Donald Duncan, seorang warga Amerika Syarikat, yang berminat mencari pelabur yang bersemangat untuk meneruskan perniagaan berkenaan.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak halangan dan cabaran ketika pandemik, US Pizza berjaya melaluinya dan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan pada masa pandemik itu.

“Hari ini, jenama ini mempunyai 90 cawangan di seluruh negara dengan kadar pertumbuhan luar biasa memandangkan ia hanya mula berkembang pada 2019 iaitu sewaktu pandemik COVID-19 melanda. Pada masa itulah kami membuka cawangan pertama di luar Pulau Pinang, yang juga restoran keenam di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan