AM

MAXIS EKELAS USAHAWAN LATIH LEBIH 2,400 USAHAWAN SEJAK 2021

11/01/2023 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Program jangkauan komuniti Maxis Berhad's (Maxis) eKelas Usahawan telah melatih lebih 2,400 usahawan tempatan sejak dilancarkan pada Mac 2021.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu telah dijalankan secara fizikal dan maya di seluruh negara menerusi 39 bengkel dengan maklum balas positif daripada peserta.

Menurut Maxis program itu menarik minat perusahaan kecil dan sederhana mikro (PKS mikro), terutama usahawan wanita, dalam menerima pakai pendigitalan dalam perniagaan mereka.

“Sebagai usaha untuk mengadakan bengkel khusus, eKelas Usahawan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menarik minat dan membantu lebih ramai usahawan dan PKS menerapkan pengetahuan dan alat pemasaran digital asas kepada perniagaan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Program tersebut, yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial Maxis dalam menyokong komuniti B40 menerusi penggunaan digital yang lebih tinggi, merangkumi siri bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal dan amali untuk melengkapkan usahawan dengan pengetahuan serta kemahiran asas pemasaran digital, menurut Maxis.

Ketua Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha dalam kenyataan sama berkata syarikat itu berharap dapat meningkatkan lagi program berkenaan tahun depan bagi memastikan lebih ramai usahawan dapat meraih manfaat pendigitalan dengan segera.

“Kami mempunyai modul yang mudah difahami dan berkesan, namun masih merangkumi petua dan kemahiran asas mengenai pemasaran, fotografi digital, penulisan iklan dan perancangan untuk kempen pemasaran, serta pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Pulau Pinang, Noraini Azlan Azmi berkata bengkel digital tersebut sangat bermanfaat bagi usahawan mempelajari cara memasarkan dan mengiklankan produk mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Azliza Rumainor dan Norul Suziyana Sulong, masing-masing dari Kelantan dan Terengganu, kedua-duanya berkata mereka memperoleh pengetahuan tentang kemahiran pendigitalan serta pengiklanan dalam talian dan mengembangkan perniagaan mereka di media sosial.

Mereka yang berminat – sama ada usahawan sedia ada ataupun mereka yang beraspirasi untuk menjadi usahawan, boleh mendaftar untuk eKelas Usahawan secara percuma di https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/corporate-responsibility/.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan