AM

KUSKOP OPTIMIS PELAKSANAAN 185 PROGRAM BERI IMPAK POSITIF KEPADA PEMBANGUNAN PERUSAHAAN

04/02/2023 03:27 PM

IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) optimis pelaksanaan 185 program yang dicadangan di dalam Belanjawan 2023 mampu memberi impak positif sekali gus memacu pembangunan negara sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kesemua program secara dasarnya akan terarah kepada pemerkasaan pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang melibatkan pelbagai golongan.

“Saya amat yakin berasaskan kepada sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan sebelum ini, cadangan-cadangan (program) yang telah dikemukakan itu telah diambil peduli dan mudah-mudahan dimasukkan dalam belanjawan kali ini.

“Ada juga (program) tambahan yang kita cadangkan kepada kementerian kewangan. Antara program baru yang kita minta peruntukan antaranya melibatkan pembangunan perusahaan sosial, program pembangunan penjaja dan peniaga kecil serta program usahawan siswazah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Simpang Pulai di sini, hari ini.

Dilaporkan pada 17 Jan lalu, KUSKOP telah memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM666 juta dari Kementerian Kewangan melibatkan pelaksanaan 185 program menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini.

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan penangguhan bayaran balik pembiayaan (morotarium) bagi tempoh tiga bulan berturut-turut bermula 1 Jan lalu sehingga 31 Mac tahun ini kepada koperasi yang terjejas akibat bencana banjir pada 9 hingga 31 Dis 2022.

Beliau berkata permohonan untuk penangguhan bayaran balik pembiayaan tersebut boleh dikemukakan terus kepada pihak SKM untuk tindakan lanjut.

“Kita bersetuju untuk memberi moratorium kepada mana-mana koperasi supaya mereka dapat memberi lebih fokus kepada kesan banjir tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai program Sembang Santai itu beliau berkata ia merupakan antara platform untuk mendapatkan maklumat selain mengetahui keperluan masyarakat Orang Asli sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan khususnya daripada sudut pembangunan ekonomi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan