EKONOMI

Kuskop Peruntuk Rm650,000 Naik Taraf Tiga Tamu Desa Di Kota Belud

06/07/2024 11:36 PM

KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM650,000 bagi menaik taraf tiga Tamu Desa di Mukim Lasou, Kota Belud.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, RM250,000 diperuntukkan untuk menaik taraf Tamu Kampung Takulung dan masing-masing RM200,000 untuk Tamu Lompios dan Tamu Lasou.

“Penaiktarafan tamu komuniti ini penting bagi memberikan keselesaan kepada usahawan kecil di kampung untuk memasarkan hasil pertanian mereka seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak bermula tahun ini dengan fasa pertama melibatkan RM7 juta bagi menaik taraf 38 tapak Tamu Desa di Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menggalakkan komuniti tani di Mukim Lasou supaya menubuhkan koperasi bagi mengurus aktiviti keusahawanan dan ekonomi petani di kampung itu.

Dalam pada itu beliau turut menyalurkan RM13,000 kepada Kampung Lasou menerusi Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian untuk membeli 200 kerusi dan pemasangan meter elektrik di dewan kampung itu yang dibina hasil usaha Pusat Khidmat ADUN Kadamaian beberapa tahun lalu.

Sebanyak RM2,000 pula disumbangkan kepada Kelab Tarian dan Kebudayaan serta tajaan pendaftaran 100 belia di mukim itu bagi membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan sumbangan RM1,000 bagi sambutan Maal Hijrah esok.

Ewon juga menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 penerima melalui program tanggungjawab sosial korporat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan