AM

FESTIVAL TAMAN KUALA LUMPUR 2023 PUPUK KESEDARAN, SUNTIK SEMANGAT HIJAUKAN IBU NEGARA

15/02/2023 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Festival Taman Kuala Lumpur 2023 yang akan berlangsung selama sembilan hari bermula 4 Mac ini diharap dapat memupuk kesedaran dan menyuntik semangat warga kota membantu menghijaukan ibu negara termasuk menjalankan aktiviti berkebun di rumah. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata festival bertempat di Taman Tasik Titiwangsa itu akan mempamerkan pelbagai spesies bunga dan tumbuhan serta menampilkan pakar seni, landskap dan hortikultur dalam mendidik warga kota menghasilkan reka bentuk laman di kediaman masing-masing. 

“Tugas menghijaukan ibu negara tidak mampu dilakukan pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) semata-mata, festival ini diharap dapat memberi pendedahan dan idea baharu kepada masyarakat untuk menghiasi kediaman dengan tumbuhan semula jadi dengan pelbagai teknik landskap,” katanya pada majlis prapelancaran festival itu di sini hari ini. 

Mahadi berkata antara sembilan komponen utama festival adalah Pertandingan Balkoni KL yang akan mempamerkan hasil reka bentuk landskap di balkoni yang sinonim dengan kediaman di bandar. 

Komponen lain ialah Laman Seni dan Flora Malaysia, Laman Kediaman, Kubah Misteri Titiwangsa, Pertandingan Arca Alam, Hab Pelajar, E-Market Place, Aktiviti Kembara dan Lasak serta Sudut Santai dan Lepak. 

Beliau berkata festival bermula 9 pagi hingga 10 malam itu juga bertujuan mempromosikan budaya berkebun dan gaya hidup sihat selain menanam rasa cinta warga kota terhadap alam semula jadi. 

Katanya inisiatif itu juga selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar karbon neutral pada 2050.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan