AM

DBKL SASAR PENINGKATAN 100 PERATUS PENGEKALAN HUTAN, KAWASAN REKREASI DI KL MENJELANG 2040 - DR ZALIHA

21/06/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menyasarkan peningkatan sehingga 100 peratus pengekalan hutan dan kawasan rekreasi sedia ada di seluruh Kuala Lumpur (KL) menjelang tahun 2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini memaklumkan DBKL turut menyasarkan nisbah 20 meter persegi kawasan tanah lapang per penduduk untuk dijadikan sebagai kawasan hijau.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan amalan terbaik yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Dalam usaha untuk mengoptimumkan perancangan pembangunan di KL, saya telah mengarahkan DBKL memastikan semua perancangan penggunaan tanah perlu dilaksanakan dengan teliti, mampan dan berdaya saing demi memanfaatkan tanah lapang dan kemudahan rekreasi awam sedia ada yang meliputi 9.16 peratus daripada keseluruhan penggunaan tanah di kota ini,” katanya. 

Beliau berkata penyediaan Garis Panduan Pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga antara komitmen DBKL bagi memastikan pembangunan akan datang dilaksanakan dengan lebih terancang, berkesan dan memberi impak sosial yang positif kepada kehidupan serta kesejahteraan warga kota. 

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Pusat Setempat (OSC) Khas yang telah berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Mesyuarat itu bertujuan memastikan pembangunan di KL adalah seimbang, khususnya dalam pengekalan dan penambahan kawasan lapang, penyediaan infrastruktur yang mencukupi, serta memastikan pembangunan di KL adalah berdasarkan keperluan warga kota.

Sementara itu dalam perkembangan lain, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa langkah telah dikenal pasti berhubung isu pengalihan struktur kuil dan beberapa bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Kinrara susulan kerja-kerja menaik taraf Jalan Mas, mukim Petaling.

Langkah-langkah dikenal pasti dalam mesyuarat pada 7 Jun lepas yang dipengerusikan Dr Zaliha antaranya adalah cadangan bagi menyusun semula kedudukan bangunan sekolah yang akan terjejas perlu dirujuk semula kepada PTG, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Kementerian Pendidikan.

“Selain itu, meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang diketuai PTG Selangor dan MBSJ menyelaras hal berkaitan milikan tanah lot 65973 (bengkel besi buruk) serta mengenal pasti kesesuaian luas dan guna tanah untuk pengalihan sebahagian struktur bangunan sekolah yang terjejas.

“DBKL juga diminta merujuk isu kedudukan Kuil Hindu Jalan Kinrara ke Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batu bagi mendapatkan keputusan serta hala tuju,” menurut kenyataan itu.

DBKL dalam kenyataan sama memaklumkan pada 27 Sept 2021, kelulusan pindaan Perintah Pembangunan telah diberikan kepada Tetuan Fajarbaru Land (M) Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan Pangsapuri Residensi Wilayah (1,604 unit) di atas Lot 101895, Jalan Mas, Mukim Petaling, Daerah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.

Berdasarkan kepada Laporan Penilaian Impak Trafik yang dikemukakan oleh perunding bagi pembangunan tersebut, terdapat cadangan menaik taraf Jalan Mas kepada empat lorong disebabkan jangkaan pertambahan bilangan kenderaan di laluan berkenaan apabila pembangunan Pangsapuri Residensi Wilayah siap sepenuhnya.

Berikutan itu, cadangan menaik taraf Jalan Mas melibatkan perobohan beberapa struktur yang dibina di atas rizab jalan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan