AM

APM MELAKA PERLUAS PROGRAM KG SIAGA TINGKAT KESIAPSIAGAAN PENDUDUK HADAPI BENCANA

12/03/2023 06:29 PM

ALOR GAJAH, 12 Mac (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka akan memperluas pelaksanaan program Kampung Siaga di negeri itu secara berperingkat dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan persiapan awal penduduk sekiranya berdepan dengan sebarang bencana seperti banjir.

Pengarahnya Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata menerusi program itu penduduk di sesuatu kawasan atau komuniti akan diberikan latihan asas dan pendedahan awal menghadapi sebarang bencana dan kecemasan seperti menyelamat dan pertolongan cemas termasuk teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu ketibaan bantuan daripada pihak berkuasa.

"Buat permulaan kami laksanakan program rintis Kampung Siaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek dan ia akan diperluaskan ke DUN serta Parlimen lain di Melaka khususnya yang mempunyai ‘hotspot’ banjir yang telah dikenal pasti pihak berkuasa.

"Kami mengalu-alukan penduduk atau masyarakat setempat untuk menyertai program Kampung Siaga ini sekiranya ia dilaksanakan di kawasan mereka terutama di tempat yang sering berlaku banjir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Latihan Kesiapsiagaan Awam Menghadapi Bencana Bersama Komuniti DUN Gadek di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek VP Shanmugam dan turut disertai kira-kira 60 penduduk di DUN berkenaan.

Kamarulsyah berkata latihan dan pendedahan awal berkenaan juga bertujuan mengurangkan risiko kehilangan nyawa atau kecederaan sekiranya penduduk ditimpa sesuatu bencana atau kemalangan.

Beliau berkata program Kampung Siaga juga bertujuan memperkenalkan fungsi dan peranan APM dalam situasi kecemasan, bencana dan sebagai pasukan penyelamat serta sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

Dalam perkembangan lain, katanya situasi 'air termenung' yang berlaku di Jasin khususnya di Sungai Rambai susulan banjir sejak lebih seminggu lepas adalah ekoran kedudukan kawasan terlibat rendah dan berada berhampiran sungai.

"Situasi ini juga berlaku apabila terjadinya air laut pasang sehingga menyebabkan kadar surut air agak perlahan dan ia dijangka mengambil beberapa hari lagi untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Sehingga 2 petang tadi, 166 mangsa banjir daripada 36 keluarga di Jasin masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.

-- BERNAMA     

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan