AM

KKM KEMUKA SENARAI FASILITI KESIHATAN DAIF KEPADA MOF DALAM MASA TERDEKAT

21/03/2023 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan senarai klinik daif kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan peruntukan membaik pulih fasiliti kesihatan terbabit dengan segera. 

Menteri berkenaan Dr Zaliha Mustafa berkata beliau menyedari keperluan menaik taraf 400 fasiliti kesihatan sedia ada yang nazak di seluruh negara.

“Justeru, kita tak memilih kawasan Ahli Yang Berhormat kerajaan atau kawasan pembangkang… yang sebenarnya kita kena ingat perkhidmatan kesihatan tidak mempunyai kaitan dengan politik, jadi kita akan beri juga di (mana-mana)  kawasan (yang mempunyai fasiliti) daif ini tanpa mengira politik atau kawasan mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab celahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai keperluan tempat letak kereta di fasiliti kesihatan awam, Dr Zaliha berkata perkara itu sememangnya antara yang menjadi perhatian di KKM dan pihaknya sedang mencari beberapa pendekatan bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata terdapat beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan dalam memperbaiki sistem tempat letak kereta di hospital dan klinik kesihatan termasuk meminta pengarah hospital serta negeri mengenal pasti kawasan yang boleh dibina kemudahan itu.

“Ada juga hospital yang boleh buat parkir di kawasan yang agak jauh sikit, sekiranya dah dikenal pasti kita akan sediakan bas ulang-alik untuk bawa pesakit dari kawasan sedia ada.

“Sebagai contoh, saya berbincang dengan Ahli Parlimen Selayang (William Leong) untuk menyediakan parkir stadium yang ada di kawasan itu dan guna bas ulang-alik untuk bawa pesakit ke hospital. Ada juga kita kenal pasti parkir bertingkat untuk fasiliti kesihatan dan itu kita kena lihat bajet,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM31.5 bilion bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui suara majoriti. 

Persidangan dewan bersambung esok.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan