AM

GERAKAN KOPERASI NEGERI JOHOR DISASAR RAIH PEROLEHAN RM800 JUTA TAHUN INI

08/05/2023 05:00 PM

JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan Gerakan Koperasi Negeri Johor mencapai perolehan sebanyak RM800 juta pada tahun ini selepas mencatat RM714 juta pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata secara keseluruhannya Johor mempunyai sebanyak 1,462 koperasi dengan 463,000 keahlian.

“Pencapaian RM714 juta pada tahun lepas adalah cukup baik dan saya berpendapat angka itu akan terus meningkat lagi dengan sasaran RM800 juta pada tahun ini.

“Kita juga menyasarkan pertambahan sebanyak 100 koperasi lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Hairi berkata daripada keseluruhan 1,462 koperasi tersebut, sebanyak 30 peratus didapati tidak aktif dengan kebanyakannya telah dibantu walaupun tidak bertahan lama.

"Setiap tahun (sebanyak) 50 koperasi terpaksa ditutup dengan kebanyakannya disebabkan oleh tiada pendekatan perniagaan yang baharu,” katanya.

 Pada masa sama, beliau juga berharap agar pihak berkaitan seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk turun padang memberi penerangan termasuk aspek peranan koperasi, khususnya kepada koperasi baharu, sekolah serta kolej.

Terdahulu ketika berucap, Mohd Hairi berkata sebanyak enam koperasi Johor tersenarai dalam kelompok 100 koperasi terbaik Malaysia manakala 30 koperasi dalam kumpulan 350 koperasi terbaik daripada sejumlah 15,315 koperasi bagi 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan