POLITIK

1,300 Perwakilan Dijangka Hadir Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah

18/05/2023 05:27 PM

ALOR SETAR, 18 Mei (Bernama) -- Seramai 1,300 perwakilan daripada gabungan parti Kerajaan Perpaduan dijangka menghadiri Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah yang akan berlangsung di Ampang Business Centre di sini pada Ahad ini. 

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata konvensyen itu adalah platform untuk semua kepimpinan parti berkongsi maklumat serta pandangan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

"Saya juga melihat konvensyen ini dapat mengeratkan lagi hubungan BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) untuk bergerak selangkah lagi ke hadapan bagi memastikan kemenangan dapat dicipta di Kedah pada PRN nanti.

"Kita ada sekurang-kurangnya 60 hari lagi untuk hadapi PRN, jadi kita mahu adakan perjumpaan dan perbincangan bukan di peringkat atasan tetapi kita mahu turun berjumpa dengan lapisan kedua, ketiga sehingga akar umbi daripada semua 15 Parlimen di Kedah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan konvensyen itu.

Sementara itu, Mahdzir mengharapkan rakyat Kedah memberikan kepercayaan dan mengundi gabungan parti Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti dalam memastikan kerajaan negeri sama seperti kerajaan Pusat di Putrajaya bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

"Setakat ini, sambutan (terhadap Kerajaan Perpaduan) yang diterima menggalakkan kerana menerusi penerangan dari semasa ke semasa, ramai sudah faham apakah itu Kerajaan Perpaduan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan