AM

AGONG PERKENAN KURNIA 292 INDIVIDU DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT

20/07/2023 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada bekas Ketua Pengarah Tanah dan Galian Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor.

Mereka mendahului senarai 292 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini.

Turut berkenan berangkat pada istiadat hari ini ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali. 

Sementara itu, Sarjan Norihan a/l Tari, 42, dari Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, Perak menjadi penerima tunggal Darjah Panglima Gagah Berani.

Pada 24 Nov 2020, Norihan yang ketika itu berpangkat Koperal membuat rondaan di sekitar kawasan TS10 hingga TS9 di Padang Besar, Perlis dan telah terserempak dengan dua kumpulan penyeludup sehingga berlaku insiden berbalas tembakan. 

Insiden yang mendapat liputan meluas media itu menyaksikan rakan setugas Norihan iaitu Sarjan Baharuddin Ramli terkorban manakala beliau terkena satu tembakan di rusuk kiri dan dua tembakan di perut.

Difahamkan kedua-dua butir peluru masih berada dalam badan Norihan iaitu di tulang belakang dan operasi itu telah berjaya menemukan beberapa buah guni yang disyaki mengandungi ketum. 

Ketika ditemui selepas majlis santapan sempena istiadat itu, Norihan berkata beliau terharu dan bersyukur apabila bakti yang dicurahkan kepada negara dihargai.

Daripada jumlah keseluruhan 292 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan hari ini, 11 individu menerima Johan Mangku Negara (JMN), 13 menerima Johan Setia Mahkota (JSM), dua menerima Johan Setia Diraja (JSD),  69 menerima Kesatria Mangku Negara (KMN) dan empat menerima Kesatria Setia Diraja (KSD). 

Sebanyak 90 individu menerima Ahli Mangku Negara (AMN), 88 dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN), 12 penerima Bentara Setia Diraja (BSD), dua menerima BSD Kehormat dan seorang menerima Panglima Gagah Berani (PGB). 

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan