AM

KUSKOP TELITI CADANGAN SUBSIDI PENGANGKUTAN BARANGAN KE SABAH, SARAWAK

10/08/2023 02:22 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan meneliti cadangan pemberian subsidi pengangkutan barangan keperluan harian dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak melalui gerakan koperasi. 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata ia secara tidak langsung dapat memperkasakan lagi gerakan koperasi dalam membantu menangani bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Satu daripada cadangan yang kita terima daripada pihak koperasi di Sabah dan Sarawak, adalah supaya kerajaan menyediakan subsidi pengangkutan barangan keperluan harian dari Semenanjung ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah dan Sarawak.

“Melalui gerakan koperasi, barangan-barangan keperluan tersebut dapat dijual dengan harga yang lebih murah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pembukaan Cawangan Ketujuh Ar-Rahnu Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru) di sini hari ini.

Ewon berkata cadangan tersebut merupakan antara 35 inisiatif baharu dimasukkan kementerian dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan di Parlimen nanti. 

“Akan ada mesyuarat khas kabinet pada Isnin minggu hadapan (14 Ogos) untuk memuktamadkan Kajian Separuh Penggal ini dan sudah tentu sebagai menteri saya mahu pertahankan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan