AM

RM6.6 JUTA PEMBIAYAAN TEKUN KEPADA USAHAWAN ORANG ASLI SEJAK 2008 - EWON

19/08/2023 09:27 PM

SLIM RIVER, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian  Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah menyalurkan sejumlah RM6.6 juta pembiayaan kepada usahawan Orang Asli di negara ini sejak 2008.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan itu disalurkan melalui Skim Pembiayaan Orang Asli agensi berkenaan. 

"Pada tahun ini sahaja sebanyak RM502,000 telah disalurkan melibatkan 26 penerima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak anjuran bersama KUSKOP dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini. 

Ewon berkata kerajaan akan terus menyalurkan bantuan modal perniagaan kepada golongan Orang Asli negara ini yang berpotensi dalam perniagaan. 

Katanya, mana-mana permohonan yang dianggap berpotensi dan menepati syarat akan segera diluluskan. 

Sementara itu, Ewon berkata program yang diadakan di Kampung Orang Asli Ulu Rasau itu ialah sebagai platform kepada usahawan dan koperasi Orang Asli mempromosikan produk mereka serta inisiatif kementerian dan agensi di bawahnya menyalurkan informasi kepada golongan itu sekali gus memberi peluang latihan, perniagaan dan penyampaian maklumat. 

Program yang juga kolaborasi dengan Persatuan Orang Asli Perak itu secara tidak langsung meningkatkan pengetahuan golongan itu berkaitan koperasi. 

Di majlis sama Ewon menyampaikan sejumlah RM292,000 pembiayaan Tekun kepada 14 usahawan Orang Asli dan RM30,000 sumbangan daripada IKMa kepada Persatuan Orang Asli Perak. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan