AM

KERJASAMA UKM, MPOGCF PERKUKUH PENYELIDIKAN KONFLIK MANUSIA DAN HIDUPAN LIAR

20/09/2023 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bagi penyelidikan mengenai konflik antara manusia dan hidupan liar terutamanya di ladang kelapa sawit.

Pemeteraian MoA berkenaan disempurnakan Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM Prof Datuk Dr Roslee Rajikan bagi pihak UKM, manakala MPOGCF diwakili pemangku Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud.

Melalui MoA itu, UKM menerima geran penyelidikan sebanyak RM229,000 daripada agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi itu untuk melakukan kajian di ladang kelapa sawit di Pahang, Johor, Perak dan Sabah bermula 1 Okt ini hingga 30 Sept 2026.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu, Roslee berkata kajian tersebut memfokuskan konflik manusia dan hidupan liar terutamanya di ladang kelapa sawit serta menganalisis cabaran kewujudan bersama manusia-hidupan liar dan mewujudkan kaedah perladangan mesra hidupan liar dalam meminimumkan konflik berkenaan.

"Kita nak pastikan pekerja yang bekerja di ladang kelapa sawit tidak akan menjejaskan atau terjejas disebabkan oleh kehadiran hidupan liar.

"Kita tahu ada peristiwa yang menyebabkan ketidakselesaan antara manusia (dengan haiwan), tapi kita perlu faham bahawa kita telah masuk ke habitat hidupan liar dan perlu menghargai keperluan mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF Datuk Abdul Rasyid Idris yang menyaksikan pemeteraian MoA tersebut berkata setakat ini, pihaknya telah mengadakan empat kerjasama dengan UKM, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah yang melibatkan kajian biodiversiti di ladang sawit dan hidupan liar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan