AM

BEKAS WARTAWAN SAMBILAN TERLANTAR TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

28/09/2023 02:01 PM

PASIR PUTEH, 28 Sept (Bernama) -- Bekas wartawan sambilan Berita Harian Kelantan Rokaid Chik yang terlantar selepas tiga kali diserang angin ahmar menzahirkan penghargaan atas inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menyalurkan bantuan kepadanya.

Biarpun mengalami masalah bertutur (sebutan tidak jelas) dan masalah pendengaran, Rokaid, 58, tetap mahu menyampaikan rasa terharunya kerana masalah kesihatan yang dihadapinya mendapat perhatian daripada komuniti pengamal media.

"Terima kasih Menteri (Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil) yang cakna dengan keadaan saya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menerima sumbangan daripada Sekretariat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di kediaman beliau di Kampung Selising, di sini semalam.

Sementara itu, isteri Rokaid, Rosmahani Ramli, 58 berkata kali pertama suaminya diserang strok kecil pada 2014 namun kembali pulih selepas menjalani rawatan.

"Kali kedua beliau diserang strok pada 2018 dan 2020 diserang strok buat kali ketiga menyebabkannya koma selama tiga bulan. Kini, kedua-dua belah anggota badannya tidak dapat berfungsi seperti biasa, tidak dapat bergerak dan hilang pendengaran.

"Oleh sebab dia tidak dapat mendengar, kami berkomunikasi menggunakan aplikasi WhatsApp walaupun saya hanya berada di sebelahnya," katanya.

Menurut Rosmahani, sejak suaminya tidak bekerja, semua perbelanjaan keluarga diurus sendiri termasuk membayar upah penjaga bagi menguruskan Rokadi selain urusan persekolahan dua lagi anak mereka.

"Tiada siapa di rumah bila saya keluar mengajar di sekolah jadi saya upah orang menguruskannya sementara saya balik kerja. Saya telah memohon untuk bersara awal tahun ini bagi meluangkan masa sepenuhnya bersama suami," katanya.

Sementara itu anak bongsu pasangan itu, Nurin Atuni Sofea,19, berkata dia akan menyambung pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti di Mesir awal bulan depan demi merealisasikan hasrat bapanya yang ingin melihat dirinya menjadi doktor.

Namun katanya, untuk permulaan mereka terpaksa menyediakan kira-kira RM40,000 setahun bagi mengikuti pengajian tersebut tidak termasuk kos penginapan dan keperluan lain.

"Saya harap semuanya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki untuk mencapai cita-cita ini dan dapat memberi sedikit kegembiraan buat abah dan umi," katanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan