AM

KARNIVAL UDA 2023 JELAJAH EMPAT NEGERI SASAR 100,000 PENGUNJUNG

30/09/2023 04:51 PM

JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Karnival UDA 2023 menjelajah empat negeri yang bermula semalam (29 Sept) hingga 10 Dis depan dengan Angsana Johor Bahru Mall di sini, menjadi lokasi pertama menyasarkan seramai 100,000 pengunjung.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (UDA) Datuk Mohd Salem Kailany berkata program tiga hari itu turut melibatkan tapak karnival di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Okt, Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah (24 hingga 26 Nov) dan Angsana Ipoh Mall, Perak (8 hingga 10 Dis).

Beliau berkata karnival UDA 2023 itu membawakan kelainan dengan menggabungkan dua acara serentak iaitu Program Usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria.

“Matlamat penganjuran karnival ini juga adalah sebagai serampang dua mata bagi menggiatkan aktiviti keusahawanan dan sosioekonomi setempat, sekali gus mempromosikan rangkaian produk hartanah terbaharu UDA di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Mohd Salem berkata Program Usahawan USHAniaga menawarkan insentif kepada usahawan seperti gerai jualan, pameran agensi, kelas bimbingan dan konsultasi 'Biz Clinic', padanan perniagaan, sesi dialog Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta bual bicara usahawan.

Beliau berkata, karnival itu turut mempromosikan produk hartanah UDA seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan projek terbaharu di Sarawak.

Pelanggan yang membeli hartanah menerusi Kempen Hartanah UDA Ria juga katanya, berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan bernilai RM200,000, berupa pakej percutian, kad Touch n Go, baucar minyak, penginapan di hotel rangkaian UDA, AnCasa Hotels & Resorts serta dua hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Menurutnya, UDA yang merupakan agensi di bawah KUSKOP turut menyasarkan pembabitan seramai 500 usahawan dalam karnival itu selain mampu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM10 juta, memandangkan tahun lepas sebanyak RM11.71 juta dengan penyertaan 656 usahawan telah direkodkan.

“Kita memberi ruang kepada usahawan dan rakan kolaborasi memasarkan produk serta perkhidmatan yang lebih meluas. Ia juga platform bagi menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi dan berdaya saing, di pasaran domestlk dan antarabangsa,” katanya.

UDA juga katanya, bakal melancarkan produk hartanah baharu UDA Heights di sini bulan depan, yang direka bentuk moden, luas dan selesa untuk seisi keluarga, meliputi rumah banglo dua tingkat dengan keluasan lot 80’ x 90’ serta rumah berkembar dua tingkat dengan lima bilik tidur.

“UDA juga akan melancarkan projek hartanah teres dua tingkat dan kedai pejabat dua dan tiga tingkat di Bandar UDA Utama di sini pada tahun depan yang akan membantu merancakkan lagi industri pembangunan hartanah di Johor.

“Pelbagai variasi produk hartanah UDA yang berkualiti turut memberikan pilihan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat, terutamanya komuniti di wilayah pembangunan UDA di Johor ini," katanya.

UDA merupakan syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan