AM

INSENTIF GERAN BANTU KOPERASI SEKOLAH JANA PENDAPATAN - SKM

23/10/2023 04:36 PM

KEPALA BATAS, 23 Okt (Bernama) -- Pendedahan berkaitan ilmu keusahawanan perlu diterapkan bermula dari bangku sekolah bagi mencungkil bakat dan mengasah minat pelajar untuk menceburi bidang itu.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang Norlelah Samsudin berkata sebagai galakan, SKM turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri yang memperkenalkan "Penang 2030 COOP Grant" untuk kegunaan koperasi.

Beliau berkata sejumlah RM450,000 dalam bentuk geran diagihkan kepada 23 koperasi setakat ini dengan 14 daripadanya ialah koperasi sekolah, masing-masing menerima RM10,000 sebagai insentif untuk menjana pendapatan.

"Penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan menerusi koperasi ini merupakan satu permulaan … kita persiapkan mereka dengan segala ilmu dan bagi galakan menerusi pemberian peruntukan.

"Kita mahu mereka bawa apa yang telah dipelajari ini sehingga tamat sekolah seterusnya mengembangkan kemahiran dimiliki ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui pada Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) 2023 di Bertam Resort di sini hari ini.

Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau berbangga dengan pencapaian koperasi sekolah di Pulau Pinang apabila mencatatkan penyertaan terbanyak dalam program YESS tahun ini dengan 26 pasukan berbanding sekolah lain di seluruh negara.

Beliau turut berharap mereka yang terpilih mewakili negeri nanti akan mengharumkan nama koperasi sekolah di peringkat kebangsaan pula.

"Kerajaan negeri amat mengiktiraf kepentingan modal insan berkemahiran dan keusahawanan dalam memacu pertumbuhan serta pembangunan ekonomi.

"Justeru, program sebegini amat baik dalam mencungkil bakat dan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara selaras misi Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan