AM

KARNIVAL UDA 2023: UDA YAKIN CAPAI SASARAN RM10 JUTA

29/10/2023 07:10 PM

BUKIT MERTAJAM, 29 Okt (Bernama) -- Uda Holdings Berhad (UDA) yakin mampu mencapai sasaran RM10 juta nilai jualan usahawan menerusi Karnival Uda 2023 di empat lokasi tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasamy berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan diterima di Johor, bulan lepas yang berjaya meraih jualan RM2.96 juta dengan penyertaan 159 usahawan. 

“Keseluruhannya kami ada 500 usahawan yang mengambil bahagian pada karnival tahun ini di empat lokasi penganjuran iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Perak.

“Berdasarkan sambutan memberangsangkan (di Johor) dan kini Pulau Pinang pula, kami positif boleh capai jualan RM10 juta seperti yang disasarkan,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Penutup Karnival UDA 2023 di Tapak Parkir Gravitas, Jalan Baru, di sini hari ini.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Mohd Salem Kailany.

Mengulas lanjut, Saraswathy berkata karnival berkenaan memberi ruang kepada usahawan UDA dan rakan kolaborasi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada komuniti dengan lebih meluas.

“Menerusi karnival ini juga kita dapat memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan yang mampan di samping menjejaki, mendekati, membimbing dan mentransformasi usahawan berpotensi yang berdaya saing, berdaya tahan dan berupaya bersaing di pasaran peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salem berkata karnival tahun ini lebih menarik kerana menggabungkan dua program utama dalam satu karnival iaitu Program Usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria.

Katanya, Program Usahawan USHAniaga adalah inisiatif UDA khusus kepada golongan usahawan untuk mempromosikan perniagaan dan mendapatkan peningkatan dalam aspek jualan dan pemasaran, selain merangsang pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan tempatan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

"Kempen Hartanah UDA Ria pula membawakan pelbagai hartanah UDA antaranya dari negeri Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang termasuklah projek terbaharu kami di negeri Sarawak yang sesuai untuk semua generasi dengan pelbagai promosi dan tawaran hadiah menarik,” katanya.

Pulau Pinang menjadi lokasi kedua Karnival UDA 2023 selepas Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall dan seterusnya ke Lintasan Deasoka Kota Kinabalu, Sabah pada 24 hingga 26 Nov ini dan berakhir di Angsana Ipoh Mall, Perak pada 8 hingga 10 Dis depan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan