SHAH ALAM, 23 Nov (Bernama) -- Graduan bidang komunikasi massa tetap laris di pasaran walaupun teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kini mula digunakan secara meluas.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman berkata majoriti graduan UiTM dari bidang ini berjaya mendapat pekerjaan selepas enam bulan menerima ijazah mereka.
Katanya tahun ini universiti itu telah melahirkan 41 lepasan sarjana dan 459 lulusan ijazah sarjana muda dalam komunikasi massa dan berdasarkan statistik kebolehpasaran lepasan fakulti itu dalam industri adalah 90 peratus.
“Jadi sebab itu apabila kita bercakap tentang AI nak ambil alih namun teknologi ini tidak boleh berada bersendirian tanpa ada manusia yang membantu, maknanya masih memerlukan tenaga pakar untuk merealisasikan apa yang dilaksanakan oleh AI tersebut dalam konteks media.
Saya ada juga berjumpa dengan rakan-rakan dalam industri yang telah mula bergerak kepada AI contohnya ada pembaca berita yang menggunakan AI tapi dalam mahu menjadikan ia dalam bentuk berkenaan masih memerlukan kepakaran,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Konvokesyen UiTM Kali Ke-98 di sini hari ini.
Sementara itu, Amirul Haziq Roslan, 24, graduan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Instruksional dan Latihan berkata bidang yang dipelajarinya membuka peluang pekerjaan yang luas di pasaran.
Penerima Anugerah Naib Canselor itu berkata beliau tidak berasa bimbang dengan bidang yang diambilnya kerana telah berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat pengurusan acara.
“Dahulu memang bidang ini hanya tertumpu kepada di hadapan dan belakang kamera sahaja tetapi kini bidang ini telah dibesarkan kepada mencipta perisian, mereka bentuk laman sesawang, aplikasi, animasi dan ia sangat luas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial