AM

Koperasi di Perak disaran guna aplikasi AI, bersaing secara sihat - MB

26/07/2024 10:02 PM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Koperasi di Perak disaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai peluang untuk meningkatkan lagi keupayaan dalam pengoperasian dan perkhidmatan mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata koperasi seharusnya tidak boleh ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi terkini.

"Koperasi ini bukan setakat kekal dengan perniagaan sedia ada tetapi kena juga bersedia untuk melangkah jauh, perlu keluar dari kepompong kebiasaan. 

"Jadi, saya hendak supaya koperasi-koperasi ini sentiasa ke depan, lebih kreatif dan lebih berani untuk bersaing secara lebih sihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Perak 2024 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed di sini hari ini.

Saarani berkata koperasi juga perlu mengambil peluang dengan projek pelaburan berimpak tinggi seperti projek pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Pelabuhan Lumut serta Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Projek berkenaan katanya, dilihat dapat memanfaatkan komuniti koperasi dan usahawan tempatan dan mencetuskan ekosistem perniagaan yang lebih dinamik serta berdaya saing.

"Sebagai contoh, 10,000 keluarga akan berpindah ke Tanjung Malim (apabila AHTV siap sepenuhnya), koperasi ini mengambil peluang dengan membuka kedai dobi atau pasar raya di kawasan berkenaan.

"Koperasi sepatutnya sekarang ini boleh melihat peluang-peluang (perniagaan) yang ada di AHTV, LuMIC dan KIGIP bagi menambah pendapatan koperasi," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian Saarani berkata beberapa koperasi di negeri ini, tersenarai oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), antara 350 koperasi terbaik di negara ini, tahun lepas.

Beliau berkata antaranya adalah Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh yang menduduki tangga ke-14, Koperasi Bina Bersama Kampong Gajah (tangga ke-21), Koperasi Guru-Guru Sekolah India Perak Bhd (tangga ke-158) dan Koperasi Masjid Perak Bhd yang menduduki tangga 312. 

"Untuk mencapai sasaran pertumbuhan yang lebih tinggi, koperasi perlu terus berusaha mengamalkan pengurusan cekap, memanfaatkan teknologi terkini dan sentiasa berinovasi. 

"Koperasi juga perlu bersedia untuk bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga mesti berani bersaing di arena global," katanya.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan