AM

SAHABAT AIM MELAKA CATAT 6,047 PESERTA, PEMBIAYAAN RM40 JUTA SETAKAT SEPTEMBER

30/11/2023 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Seramai 6,047 peserta Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) direkodkan di Melaka yang melibatkan pembiayaan bernilai RM40 juta sehingga September 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Saraswathy Kandasami berkata usaha itu bagi membantu mereka terbabit menangani cabaran perniagaan masing-masing.

Beliau berkata secara umumnya, kenaikan kos sara hidup dan harga barangan memberi kesan ke atas perkembangan perniagaan terutama melibatkan usahawan mikro dan tidak formal, termasuk usahawan Sahabat AIM.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui AIM sentiasa membantu usahawan yang terjejas melalui langkah seperti bantuan pinjaman kewangan melalui Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM kepada usahawan mikro dan tidak formal,” katanya mengenai usaha AIM yang juga agensi di bawah KUSKOP, di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang bertanyakan mengenai jumlah terkini peserta Sahabat AIM Melaka dan sejauh mana cabaran kenaikan kos sara hidup, barangan dan perkhidmatan memberi kesan terhadap kelangsungan usaha mereka terbabit.

 Selain itu, Saraswathy berkata usahawan mikro dan tidak formal berkenaan juga digalakkan menyertai  program-program anjuran KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya seperti Program Hari Penjaja dan Peniaga Kecil, Program Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil dan Program Jualan Madani Koperasi bagi membantu usahawan terjejas.

“Kementerian juga menggalakkan mereka meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pengurusan perniagaan dan kewangan menerusi kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan