AM

Banjir Di Rantau Panjang Semakin Pulih, Peniaga Tetap Berwaspada

07/12/2023 03:22 PM

PASIR MAS, 7 Dis (Bernama) -- Keadaan cuaca semakin baik, namun peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang tetap berwaspada dengan sebarang kemungkinan termasuk sekiranya air Sungai Golok kembali naik mendadak.

Peniaga peralatan dapur dan runcit, Ong Tiong Guan, 68, berkata walaupun banjir minggu lepas tidak teruk berbanding sebelum ini, dia masih mengambil langkah berwaspada.

“Kali ini air banjir tidak memasuki kedai hanya naik di atas jalan, tetapi saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan musim banjir ini belum berakhir.

“Saya jangka ada dua atau tiga kali lagi banjir akan berlaku, ia berdasarkan pengalaman 40 tahun berniaga di sini,” katanya ketika ditemui BERNAMA di Pekan Rantau Panjang di sini hari ini.

Tiong Guan berkata barang jualannya telah diletakkan di tempat selamat dan lebih tinggi bagi mengelakkan daripada ditenggelami air.

Bagi pembantu kedai pakaian, Noriahna Amran, 40, banjir minggu lepas menyebabkan kedainya terpaksa ditutup dua hari.

"Sekarang ini laluan untuk ke pekan ini boleh dilalui, walaupun boleh kembali berniaga kami belum boleh menarik nafas lega dan perlu berjaga-jaga hingga Mac tahun depan.

"Pakaian dan kain yang sudah diletakkan di tempat tinggi belum dibawa turun kerana bimbang akan berlaku lagi banjir selepas ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Wan Siti Aishah Wan Nordin, 40, berkata kesemua barangan perniagaannya dibawa ke tingkat dua kedai setiap kali musim tengkujuh.

"Hanya sebahagian barangan jualan dibawa turun, kami bimbang akan berlaku gelombang kedua dan ketiga kerana biasanya ia akan lebih teruk," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan