AM

Jurulatih Sukan Di Bawah Kpm, Kpt Wajib Ada Lesen Kejurulatihan - Ahmad Zahid

11/01/2024 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Guru dan kakitangan yang terlibat dalam kejurulatihan sukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diwajibkan mempunyai sijil kejurulatihan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) kendalian Akademi Kejurulatihan Kebangsaan  dan Institut Sukan Negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jurulatih sukan di bawah KPM dan KPT pula diwajibkan mempunyai lesen kejurulatihan berdaftar yang aktif di bawah Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan Malaysia Sports Coach Registry (MSCR).

Ahmad Zahid berkata perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan Bil. 1/2024 yang dipengerusikan beliau hari ini. 

Mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada beberapa perkara termasuk pemerkasaan pembangunan sukan olahraga dan renang serta penambahbaikan ekosistem kejurulatihan melalui kolaborasi rentas kementerian.

“Mesyuarat turut mewajibkan guru Pendidikan Jasmani serta jurulatih sukan di bawah KPM dan KPT untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dan atlet mengenai elemen-elemen dalam Kod Sukan Selamat,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid turut menekankan agar bakat-bakat sukan dalam kalangan anggota badan beruniform diberikan perhatian sebagai satu kumpulan yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sukan tanah air.

Beliau berkata pembangunan bakat di peringkat akar umbi adalah amat penting bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Pemegang taruh utama seperti Kementerian Belia dan Sukan, KPM, KPT dan persatuan sukan perlu bergerak seiringan bagi mewujudkan suatu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang berstruktur dan efektif.

Talent pool yang lebih luas memberi kelebihan bagi menggilap potensi atlet dari peringkat awal,” katanya.

Meskipun pertandingan kompetitif turut dilaksanakan di semua peringkat merentas pelbagai sektor pendidikan, Ahmad Zahid berharap usaha itu dapat dipergiatkan lagi agar pencarian bakat untuk sukan berprestasi tinggi diperluaskan.

Katanya ini termasuk merentasi pelbagai sektor pendidikan seperti sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan institusi tahfiz.

“Insya-Allah, melalui mesyuarat seperti hari ini saya yakin penyelarasan yang baik antara kementerian, agensi dan semua pemegang taruh, pembangunan sukan negara akan dapat dipertingkatkan secara berstruktur dan mendapat hasil yang lebih baik di masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan