AM

GERAN KBS: KERAJAAN NEGERI BINCANG SEGERA DENGAN MBI, PERAK FC - EXCO

14/01/2024 09:36 AM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan segera dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Perak FC berhubung tawaran geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran serta penanaman rumput baharu di stadium Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan kerja naik taraf yang bakal dilakukan mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak. 

"Stadium Perak kepunyaan MBI manakala pasukan Perak FC yang bersaing dalam Liga Super dimiliki oleh entiti berlainan dan kita mahu duduk semeja untuk pastikan naik taraf ini memuaskan hati semua pihak agar tiada isu berbangkit. 

"Kita mahu semua pihak beri pandangan masing-masing kerana Perak FC selaku pengguna utama mempunyai kehendak dan impian dalam memastikan Stadium Perak mempunyai kualiti padang yang lebih baik," katanya pada sidang media di sini malam tadi. 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perlawanan Akhir Piala XOX 2023 antara pasukan Kinta Utara (SMK Anderson) menentang Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak (SMK Gunung Rapat) di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC Bobie Farid Shamsudin berkata paling utama daripada geran yang ditawarkan KBS itu ialah penggantian sistem saliran padang sesebuah stadium untuk berfungsi secara maksimum.

Beliau juga mencadangkan penggunaan rumput jenis Bermuda yang lebih murah sedikit kos penyelenggaraannya seperti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri menerima geran KBS dalam usaha kementerian itu menyediakan kualiti padang yang lebih baik untuk memastikan Liga Malaysia kekal kompetitif.

KBS melalui Menterinya, Hannah Yeoh dilapor menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu selain Tunku Mahkota Johor  Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah memberikan bantuan kewangan RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang dinaik taraf menerusi geran KBS.

Sementara itu, perlawanan itu menyaksikan SSN Perak yang diwakili SMK Gunung Rapat dinobat juara edisi pertama Piala XOX 2023 selepas menumpaskan SMK Anderson yang mewakili Kinta Utara 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0.

Pasukan Batang Padang (SMK Air Kuning) pula menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Hulu Perak (SMK Sultan Idris Shah II, Gerik) 3-1 yang turut ditentukan menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan