AM

KKDW KELUARKAN BORANG BANTU PENDAFTARAN PADU MASYARAKAT LUAR BANDAR

21/01/2024 02:32 PM

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengeluarkan borang bagi membantu masyarakat luar bandar dan desa mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) secara manual. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu akan dilakukan dengan menggerakkan pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan ketua-ketua kampung bagi membantu golongan berkenaan. 

“Oleh sebab terdapat kaedah permohonan (pendaftaran) secara manual, maka kita akan lakukan sesegera mungkin bagi menentukan kumpulan sasaran ini … pihak Kemas dan ketua-ketua kampung yang dilantik akan dimobilisasikan untuk melakukan pendaftaran PADU.

"Borang akan disediakan kerana tidak semua yang boleh mendaftar secara dalam talian, maka kita mesti membantu rakyat luar bandar dan desa mendaftar secara manual,” katanya kepada media selepas Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di sini hari ini. 

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

PADU yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas bertujuan menjadi sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan