AM

Sambutan Perayaan Penguat Kasih Pasangan Kahwin Campur

09/02/2024 09:58 PM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Siapa sangka Tahun Baharu Cina yang dahulunya tidak diraikan oleh L.Manimaran kini menjadi perayaan yang menguatkan kasih sayang antara beliau dengan isterinya Ooi Mei Kim, selain Deepavali.

Manimaran, 57, dan Ooi, 50, yang mendirikan rumah tangga pada 24 Sept 2005, memberitahu Bernama perbezaan budaya dan tradisi yang pada mulanya dirasakan agak kekok untuk diikuti mereka, kini boleh diibaratkan seperti ‘alah bisa, tegal biasa’. 

“Setiap tahun apabila datangnya Tahun Baharu Cina, saya akan berkumpul bersama keluarga isteri untuk menyambutnya. Begitu juga apabila datangnya Deepavali, isteri tidak kekok untuk bersama-sama meraikannya,” kata Manimaran.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata demikian ketika ditemui di sebuah restoran sewaktu acara makan besar sempena sambutan perayaan itu esok.

Manimaran yang bekerja sebagai jurugambar sambilan di sebuah syarikat media tempatan di sini berkata hasil perkahwinan campur itu, kesemua anaknya menguasai lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kantonis, Hokkien dan Tamil.

Sementara itu, Ooi berkata beliau dan suami berusaha untuk mempelajari dan memahami tradisi keluarga masing-masing.

“Awal perkahwinan dahulu, saya akui memang agak kekok tentang adat resam dan agama yang dianuti suami. Untuk dapatkan lebih kefahaman, saya akan bertanya kepada suami jika ada apa-apa perkara yang keliru.

“Begitu juga suami. Kalau dia tak tahu atau nak tahu, dia akan rujuk kepada saya. Perkara ini sebenarnya menyebabkan kami jadi lebih terbuka dan positif selain dapat menerima budaya masing-masing,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Berkongsi mengenai persiapan sambutan Tahun Baharu Cina, Ooi berkata keluarganya meraikan perayaan itu secara sederhana selepas kematian ibunya pada 2020 dan jamuan makan besar bersama keluarga terdekat kini hanya dibuat di restoran berbanding di rumah sebelum ini.

“Selepas ibu saya meninggal pada 2020, kami sambut dengan sederhana sahaja. Semasa ibu hidup, setiap kali datang Tahun Baharu Cina, dia antara yang sibuk menyiapkan persiapan terutama membabitkan adat makan besar ini.

“Kami semua juga pada waktu itu diwajibkan oleh ibu untuk meraikan makan besar di rumah bukan di restoran seperti mana hari ini,” katanya yang berasal dari Ipoh.

Dalam perkembangan lain, pengurusan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) menganjurkan majlis makan malam istimewa atau '’Reunion Dinner'’ buat pesakit mereka agar dapat merasai kehangatan kasih sayang dan ikatan kekeluargaan menjelang Tahun Baharu Cina esok.

Ketua Pegawai Eksekutif PCSH Nicholas Chan dalam kenyataan berkata pihaknya menganggap pesakit sebagai sebahagian daripada keluarga PCSH dan mahu mereka berasa tenteram, selain menunjukkan kasih sayang dan keikhlasan.

Seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Seow, 61, meluahkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada PCSH kerana mengadakan makan malam itu supaya mereka tidak berasa sunyi sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina.

"Secara peribadi saya berasa kagum bagaimana perkara kecil boleh menceriakan hari seseorang dan di PCSH, mengagumkan bagaimana mereka benar-benar mengambil langkah untuk memastikannya (menceriakan pesakit)," katanya.

Seorang lagi pesakit, Amiruddin, 22, berkata beliau gembira PCSH berusaha untuk memastikan semua pesakit mereka merasai keriangan dan kehangatan Tahun Baru Cina.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan