SUKAN

Liga Hoki Melaka Dianjurkan Kembali Tahun Ini - Rais

17/02/2024 06:29 PM

MELAKA, 17 Feb (Bernama) -- Persatuan Hoki Melaka (PHM) akan menganjurkan semula Liga Hoki Melaka, selepas kali terakhir ia diadakan pada 2018.

Presiden baharunya Datuk Rais Yasin berkata satu mesyuarat mengenai penganjuran liga itu, akan diadakan dalam masa terdekat dan dijangka pertandingan itu berlangsung pada Julai atau Ogos depan.

“Liga itu juga akan membabitkan pelbagai peringkat umur dan kategori, membabitkan pasukan dari sekolah dalam negeri ini, hingga ke pasukan kelab.

“Namun kita akan minta dulu panduan daripada pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melihat tarikh yang sesuai bagi penganjuran liga berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PHM ke-24, yang disempurnakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal.

Rais berkata penganjuran semula Liga Hoki Melaka itu juga, merupakan komitmen pertama beliau sebagai presiden yang baharu dilantik, dalam memastikan ia dilaksanakan pada setiap tahun selepas ini.

“Selain itu kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, bagi melaksanakan program pembangunan sukan itu pada peringkat akar umbi.

“Ini juga komitmen kita bagi mengembalikan kegemilangan sukan tersebut di negeri ini, yang pernah melahirkan ramai bintang hoki negara dengan menggilap bakat anak muda, menerusi penganjuran pertandingan dan liga hoki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kemudahan dan padang hoki di Stadium Hoki MBMB Bukit Serindit juga akan dinaik taraf dengan membabitkan kos sebanyak RM5 juta, dengan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kerja Raya.

“Insya-Allah pada bulan Jun, tender untuk kerja naik taraf akan dikeluarkan dan kita akan mendapat stadium hoki yang lebih baik dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan