AM

PERNAS SASAR LAHIRKAN 5,000 USAHAWAN FRANCAIS MENJELANG 2025

20/02/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama)  -- Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyasarkan untuk melahirkan 5,000 usahawan francais menjelang 2025 membabitkan lebih 90 peratus dalam kalangan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata sasaran itu juga membabitkan sejumlah RM1.47 bilion dana pemegang saham. 

“Pernas telah diwujudkan sejak 1969 dan menjadi agensi yang sangat penting bagi industri francais sejak tahun 2000… sejak itu ( tahun 2000) pembiayaan francais yang telah ditawarkan Pernas adalah sebanyak RM441 juta dengan jumlah pelaburan RM709 juta.

“Daripada jumlah itu juga, lebih 5,000 usahawan telah dilahirkan dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan ke Pernas hari ini. 

Beliau berkata Pernas merupakan satu agensi yang sangat penting untuk membangunkan dan mengembangkan industri francais serta usahawannya sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara. 

“Misi kita adalah untuk pastikan usahawan francais khususnya PMKS dibangunkan ke tahap yang lebih tinggi, peluang diberi kepada semua, anda perlu merebut peluang itu dan kerja kuat...kita mahu mereka bukan sekadar berada di gerai tetapi dapat tembusi pasar raya dan pasar raya besar termasuk di lapangan terbang. 

“Pernas juga telah mengadakan pelbagai program sokongan seperti program memperkasakan B40 yang bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri lain… saya juga berharap agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata Akta Francais 1998 kini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  (Kuskop) seperti diputuskan Kabinet.

Sebelum ini, Akta Francais adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan