EKONOMI

Arnott's Group Dari Australia Unjur Hasil tahunan Dari Asia Cecah Rm2.5 Bilion

22/02/2024 07:57 PM

PUCHONG, 22 Feb (Bernama) -- Pengeluar makanan multinasional terkemuka dari Australia, The Arnott's Group (TAG), mengunjur meraih hasil tahunan sebanyak RM2.5 bilion dari Asia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

TAG berkata pada masa ini, perniagaan dari Asia menyumbang perolehan lebih daripada RM1 bilion, bersamaan dengan satu perempat daripada jumlah perolehan tahunan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya George Zoghbi berkata syarikat itu akan menyertai pasaran makanan sedia untuk dimakan yang semakin berkembang di rantau ini memandangkan Kuala Lumpur merupakan hab operasinya.

“Kami dikenali dalam perniagaan pasta, dengan jenama Prego kami. Dari segi sos pasta, kami menguasai kira-kira 92 peratus bahagian pasaran di Malaysia dan kami adalah jenama utama dalam sos pasta. 

“Malaysia menyediakan gambaran jelas tentang pasaran Asia secara amnya, itulah sebabnya kami menjalankan keseluruhan operasi di Kuala Lumpur," katanya selepas melancarkan produk terbaharu Prego Instant Pasta Bowl di 7-Eleven Cafe di Puchong, di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai produk baharu tersebut, Zoghbi berkata ia merupakan pencetus perubahan dalam penyediaan makanan sedia untuk dimakan di Asia.

Beliau berkata produk tersebut mempunyai sentuhan jualan yang unik dari segi rasa, mudah dan nilai pemakanan yang tinggi.

Prego Instant Pasta Bowl didatangkan dalam dua varian iaitu ‘Mac’ dan ‘Cheese’ serta ‘Mushroom Carbonara Mac Bowls’ dan dijual pada harga RM7.50 sebungkus.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan