SUKAN

Isu Tajaan: Kbs Tambah Baik Kod Sukan Selamat- Hannah

25/02/2024 12:25 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil langkah proaktif untuk menambah baik Kod Sukan Selamat bagi memastikan isu tajaan acara sukan oleh syarikat rokok dan vape tidak berulang pada masa hadapan. 

Menterinya Hannah Yeoh berkata kementerian bertegas tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan kerana ia mampu mendatangkan kebimbangan kepada banyak pihak terutamanya ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menyertai aktiviti sukan. 

“Kita sedang melihat dalam pindaan Kod Sukan Selamat untuk masukkan perkara ini (tidak membenarkan penajaan rokok dan rokok elektronik dalam program sukan) berpandukan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana akta ibu berada di bawah mereka.

“…tetapi kita boleh gunakan kuasa sebagai pemilik fasiliti sukan dan aktiviti contohnya di gelanggang futsal atau perbandanan stadium kita (untuk) tidak benarkan (sebarang penajaan rokok atau rokok elektronik),” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 68 peserta kategori elit lelaki pada Piala Triatlon Asia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya di sini, hari ini.

Kod Sukan Selamat merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan serta penderaan dalam sukan.

Justeru Hannah berharap pengajur lebih beretika dalam pemilihan penajaan walaupun mengakui bukan mudah mendapatkan tajaan bagi sektor sukan memandangkan kos penganjuran yang tinggi. 

“Dunia media sosial sekarang memang tak akan terlepas, jadi kalau ada persatuan sukan yang rasa mungkin (mereka) dapat lepas, dan tiada siapa yang akan tahu, ia adalah mustahil kerana anda ada banyak penonton, dan orang juga akan merakam foto serta video.

“… dan satu lagi apabila anda membenarkan penajaan seperti itu, ia akan menjejaskan penaja lain kerana terdapat banyak penaja yang tidak mahu dikaitkan dengan rokok atau vape,” katanya.

Rabu lepas (21 Feb) tular di media sosial berkenaan penganjuran Piala Polo 2024 yang berlangsung pada 17 dan 18 Feb telah ditaja syarikat rokok elektronik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim pada 28 Jan  pula memaklumkan menerusi aplikasi X bahawa kementerian akan menyiasat penganjuran program 'Foodie Futbol Fest 2024' yang turut mendapat tajaan dari syarikat menjual vape.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan