AM

Uk Ingin Tingkatkan Lagi Kerjasama Dengan Sabah Lonjakkan Ketibaan Pelancong - Pesuruhjaya Tinggi

28/02/2024 02:01 AM

KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- United Kingdom (UK) berhasrat meningkatkan lagi kerjasama dengan Sabah dalam industri pelancongan untuk melonjakkan ketibaan pelancong dari kedua-dua pihak, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia  Ailsa Terry. 

Beliau berkata Kerajaan UK telah menyemak nasihat perjalanan ke timur Sabah tahun lepas dan langkah itu penting bagi menarik lebih ramai rakyat British melancong ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Kami menjadikannya lebih mudah bagi warga British datang ke Sabah untuk bercuti. Kami telah meminda nasihat perjalanan itu. Kami telah mengurangkan kawasan terlibat jadi sekarang anda boleh mengembara menurut nasihat kami ke kawasan yang lebih besar di Sabah dari sebelumnya.

Jadi, kami berharap sebahagian daripada proses ini menggalakkan pelancongan dan pelancong untuk datang ke sini,” kata  beliau kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Selain daripada pelancongan, beliau berkata United Kingdom juga ingin bekerjasama dengan Sabah dalam bidang-bidang lain seperti perniagaan, perdagangan, pelaburan, iklim dan pemuliharaan alam sekitar. 

Pada tahun lepas media melaporkan Kerajaan UK telah menyemak nasihat perjalanannya ke timur Sabah sebagai satu langkah penting yang mencerminkan penambahbaikan dalam keadaan keselamatan di Sabah.

Terry yang fasih berbahasa Melayu berkata ini merupakan lawatan rasmi sulungnya ke Sabah selaku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia tetapi beliau telah melawat negeri ini buat julung kalinya kira-kira 10 tahun lepas dan jatuh cinta dengan keindahannya.

“Saya sangat gembira di sini hari ini, pertama kali saya datang ke sini untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah. Tiga kali saya berada di Sabah, sangat cantik dan satu tempat yang unik, “ katanya.

Sementara itu, Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata Terry juga melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri   Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

“Antara isu yang dibincangkan ialah mengukuhkan lagi hubungan, meningkatkan perdagangan dan pelaburan daripada syarikat British di Sabah, membawa universiti British untuk membuka cawangan di Sabah, program ijazah berkembar dengan Kolej Universiti Yayasan Sabah, keselamatan dan pelancongan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan