AM

Kerajaan Komited Tingkat Kesalinghubungan, Naik Taraf Kemudahan Pelabuhan Di Labuan

29/02/2024 01:34 PM

LABUAN, 29 Feb (Bernama) -- Wilayah Persekutuan Labuan dijangka meningkatkan kesalinghubungan dengan komitmen yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menambah kekerapan penerbangan terus dan meneliti cadangan menaik taraf Pelabuhan Liberty Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengesahkan komitmen itu menerusi catatannya dalam Facebook beliau, susulan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam.

Dr Zaliha berkata semasa pertemuan itu, Loke telah menyatakan komitmennya untuk mengusahakan penambahan kekerapan penerbangan terus ke Labuan, sekali gus menangani isu yang dibangkitkan penduduk di pulau bebas cukai itu sewaktu program Temu Rapat Dr Zaliha pada bulan lepas.

"Beliau juga akan meneliti cadangan untuk menaik taraf Pelabuhan Liberty Labuan, yang telah mencecah usia 70 tahun," katanya dalam hantaran itu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) Datuk Seri Patrick Tiong memuji inisiatif Dr Zaliha dengan berkata bahawa menteri amat komited dengan kata-kata dan keazamannya untuk melihat ekonomi Labuan seiring dengan dua lagi Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kita mesti berterima kasih atas komitmen beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, menekankan resolusi terhadap pelabuhan berkenaan yang telah lama tertangguh … paling penting, jeti yang sangat memerlukan pembaikan, pembesaran dan pengukuhan mesti diberi keutamaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Tiong berkata syarikat seinduk MPM, Sailion Shipping yang terlibat dalam pengendalian laluan pelayaran antarabangsa, sedang membuat pertimbangan untuk membawa pelayaran antarabangsa ke Labuan.

"Bagaimanapun, keadaan jeti pada masa ini yang semakin usang menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaannya untuk menampung kapal persiaran yang besar," katanya.

Dalam pada itu, Rithuan melahirkan keyakinan mengenai perbincangan itu dan PL akan memudah cara urusan berhubung cadangan usaha naik taraf dengan agensi berkaitan demi kepentingan industri ekonomi dan pelancongan Labuan.

Beliau turut menggesa pemain industri pelancongan supaya menawarkan pakej menarik untuk meningkatkan usaha sektor pelancongan, berikutan usaha untuk menambah kekerapan penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan