AM

Seni Seramik Raku Anak Malaysia Tembusi Pasaran Luar Negara

03/03/2024 01:13 PM

Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Keunikan rona seni seramik raku yang merupakan kraf tradisional kuno Jepun sejak abad ke-16 mencetuskan minat anak Malaysia untuk meneroka keindahannya dengan mengolah menjadi seni kontemporari.

Gabungan rona pelangi yang terbentuk secara eksklusif pada setiap tembikar yang dihasilkan menjadikan hasil kerja tangan artis Adil Abdul Ghani, 46, pengusaha tembikar jenama ‘RAAQUU’ ini cukup dikenali dalam kalangan peminat tembikar tempatan dan luar negara.

Malah, sejak beralih kepada seni raku empat tahun lepas, permintaan yang diterima bapa kepada tiga cahaya mata ini cukup memberangsangkan sehingga mampu mempamerkan hasil seninya itu di galeri Zhan Art Space di Petaling Jaya, Selangor pada Januari lepas.

"Seramik raku merupakan teknik pembakaran kuno Jepun, begitu istimewa kerana dihasilkan dengan motif luar jangkaan dan sebagai artis seramik, kami pun tidak mengetahui motif yang akan terhasil daripada kaedah tersebut dan inilah keseronokannya.

“Tambah menarik, motif dan rona warna pada setiap arca seni seramik ini berbeza antara satu lain, tidak akan sama dan tidak ada ‘duplicate’ dan inilah keunikan seramik raku sehingga menjadi perhatian dalam kalangan peminat dan para pengumpul kraf ini khususnya antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia seramik tempatan, keindahan seni seramik raku yang melahirkan kemasan unik dan tersendiri menerusi ‘painted by fire’ atau diwarnakan oleh api berbanding penggunaan pewarna, menyuntik minat Adil untuk beralih kepada teknik tersebut.

Digerakkan pada 2020 selepas menjalani latihan pembuatan tembikar di Jepun serta melakukan kajian mendalam mengenainya, Adil sekali gus menjadi artis atau pengusaha seramik tempatan pertama mengambil langkah berani mencuba kaedah seramik ‘copper matte’ raku. 

“Biasanya, motif yang terhasil daripada teknik pembakaran warna api ini atau raku adalah abstrak dan kontemporari. Prosesnya, dengan melakukan pembakaran di dalam sebuah dapur dengan tahap kepanasan maksimum dan kemudiannya dialihkan ke dalam sebuah bekas yang diisi penuh habuk kayu dan kertas. 

“Pertembungan suhu dan tahap kepanasan berlawanan di dalam ruang khas itulah yang memberikan motif serta warna unik dan paling menarik sekali apabila teknik raku menghasilkan rona-rona yang jarang dapat dilihat,” katanya. 

Biarpun beralih kepada teknik pembuatan seramik negara matahari terbit, Adil yang juga pengarah kreatif syarikat berkenaan tetap mempertahankan keunikan penghasilan tembikar tempatan apabila memilih untuk kekal menggunakan tanah liat yang diperoleh dari Perak, negeri yang terkenal dalam pembuatan labu sayong. 

Gabungan bahan mentah tempatan dan juga kaedah raku itu, menjadikan produk kelahiran syarikatnya tambah luar biasa dan lebih istimewa apabila menjadi tumpuan dalam kalangan peminat dekorasi kediaman khususnya untuk pasaran Amerika Syarikat. 

Hadir dalam pelbagai saiz daripada pasu mini sebesar tapak tangan sehinggalah ke paras pinggang, produk RAAQUU yang memberi tumpuan kepada dekorasi dalaman rumah dan pejabat dijual pada harga berpatutan bermula serendah RM50 hingga ribuan ringgit. 

“Menerokai teknik raku bukanlah bermaksud kita meminggirkan kaedah penghasilan tembikar tempatan kerana saya percaya untuk kekal kompeten, industri kraf perlu ada cetusan baharu bagi menyegarkan lagi produk dihasilkan bagi memastikan akan kelangsungannya,” katanya yang turut menjelaskan produk keluaran RAAQUU dilapisi dengan sealer khas supaya warnanya dilindungi daripada sinar ultraungu dan habuk agar tahan lama.

Pernah menerima Anugerah Reka Bentuk Terbaik Malaysia pada 2022 oleh Majlis Reka Bentuk Malaysia, Adil berkata produk RAAQUU baru-baru ini turut menerima penarafan lima bintang oleh Standard Kraftangan Malaysia untuk tempoh tiga tahun hingga 2027.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan