AM

AIM TERAJUI PROGRAM NOKTAHKAN KEMISKINAN KUSKOP DI TIGA DAERAH TERMISKIN SABAH - EWON

09/03/2024 08:42 PM

KOTA BELUD, 9 Mac (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah dipilih untuk menerajui program khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menoktahkan kemiskinan di tiga daerah termiskin di Sabah iaitu Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata ini kerana AIM telah berjaya dalam usahanya menangani insiden kemiskinan, antaranya dapat dilihat dengan lebih 320,000 usahawan wanita di seluruh negara telah dibantu dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Daripada jumlah itu hampir 54,000 merupakan Sahabat AIM atau usahawan wanita dari Sabah. Kejayaan AIM menangani kemiskinan dan membangunkan usahawan wanita telah terbukti melalui kejayaan usahawan yang menerima pembiayaan daripada agensi itu.

“Itu sebabnya di peringkat kementerian, kita telah memilih AIM menjadi agensi peneraju untuk program tersebut. Kita masih lagi sedang memperincikan pelaksanaan program ini,” katanya menerusi kenyataan selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah anjuran AIM, di Kadamaian di sini hari ini.

Ewon berkata berdasarkan kunjungannya ke premis usahawan AIM di beberapa negeri setakat ini, kebanyakan usahawan yang sebelumnya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan, kini mencapai kejayaan besar hasil pembiayaan AIM. 

“Sebab itu kita amat menghargai peranan AIM membangunkan usahawan wanita. Saya juga mahu setiap kisah kejayaan mereka ditonjolkan, untuk dijadikan motivasi kepada wanita lain. Usahawan AIM bukan setakat mengembangkan perniagaan  tetapi juga membantu usahawan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid berkata AIM memperuntukkan RM231.6 juta untuk usahawan Sabah, bagi membolehkan lebih ramai usahawan dan wanita negeri itu menerima manfaat melalui pelbagai skim pembiayaan disediakan AIM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan