AM

Kampung Pasir Pekan Tengah Di Kelantan Bakal Terima Manfaat Program Kampung Angkat Madani

28/03/2024 05:47 PM

TUMPAT, 28 Mac (Bernama) -- Kira-Kira 1,800 penduduk Kampung Pasir Pekan Tengah di sini yang terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal menerima impak positif menerusi pelaksanaan program berkenaan.

Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata program itu antaranya akan meneroka keperluan pembinaan jeti bot kekal di kawasan berkenaan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

"Penduduk telah memulakan usaha menyediakan bot pelancongan bagi meneroka pemandangan di sekitar Sungai Kelantan dan pulau-pulau berdekatan.

"Justeru, program Kampung Angkat MADANI akan meneroka keperluan pembinaan jeti bot kekal di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tinjauan Kesejahteraan Keluarga dan Komuniti Kampung Angkat MADANI di sini hari ini.

Selain itu, Maziah berkata projek penambahbaikan jalan di kawasan yang dikenal pasti di kampung berkenaan akan membantu penduduk supaya tidak terputus hubungan terutama ketika banjir.

"Kos yang diperuntukkan bagi menjayakan program ini ialah RM2.5 juta yang akan dikawal selia Kementerian Kewangan bermula pada 1 Jan hingga 31 Dis 2024," katanya.

Mengulas lanjut, Maziah berkata pelaksanaan tinjauan di kampung berkenaan hari ini dilakukan bagi mengenal pasti isu-isu sosial dan fasiliti, mengukur tahap kesejahteraan komuniti dalam kalangan penduduk selain keperluan program serta perkhidmatan yang diperlukan penduduk kampung.

Beliau berkata Kampung Pasir Pekan Tengah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI atas faktor kesejahteraan sosial, pemerkasaan sektor pelancongan dan keselamatan penduduk.

Kampung Angkat MADANI merupakan program di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bagi membantu komuniti desa memulakan projek ekonomi sendiri.

Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan untuk pelaksanaan DKM yang memberi peluang kepada komuniti menentukan sendiri projek ekonomi yang ingin dibangunkan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan