EKONOMI

Kerjasama Bersama Tesla Bakal Pacu Malaysia Sebagai Hab Utama Teknologi Hijau - Tengku Zafrul

22/08/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kerjasama bersama pengeluar kenderaan elektrik (EV), Tesla dijangka dapat memacu Malaysia sebagai hab utama teknologi hijau di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Menerusi perbincangan dengan delegasi Tesla Malaysia hari ini, beliau berkata syarikat itu menekankan sokongan terhadap ekosistem tempatan dengan melibatkan sembilan syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV.

Selain itu, syarikat tersebut juga menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk pemindahan ilmu dan pembangunan modal insan.

“Semoga usaha bersama ini terus berkembang, membawa manfaat besar kepada ekonomi, teknologi, dan tenaga lestari negara kita,” katanya menerusi hantaran di laman sosial media beliau selepas mengadakan perbincangan dengan delegasi Tesla Malaysia, hari ini.

Tengku Zafrul berkata perbincangan hari ini memberi fokus kepada kemajuan dan pelaksanaan Skim AP Peneraju Global Battery Electric Vehicle (BEV).

Menurutnya, sehingga akhir Julai 2024, Tesla telah berjaya memasang 52 unit pengecas Supercharger dengan kapasiti 250KW, 54 unit pengecas Wall Connector AC, dan lebih 4,500 unit pengecas rumah di Semenanjung Malaysia.

Menerusi pelaburan yang mencecah US$13.5 juta (RM59.06 million), Tesla menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan infrastruktur pengecasan EV di negara kita.

“Kami juga berbincang mengenai potensi besar teknologi penyimpanan tenaga bateri yang dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga dan kestabilan grid elektrik Malaysia.

“Teknologi ini berpotensi untuk mengurangkan kos tenaga dan memperkukuhkan infrastruktur tenaga nasional kita,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan