AM

TEKUN NASIONAL SEDIA DANA TAMBAHAN RM30 JUTA UNTUK “SPUMI GOES BIG”, PERKASA USAHAWAN INDIA

03/04/2024 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) hari ini mengumumkan dana tambahan RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI Goes Big).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata tambahan dana itu menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India kini berjumlah RM60 juta.

Beliau berkata skim itu terbuka untuk semua usahawan SPUMI sedia ada yang telah mendaftar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan menawarkan nilai pembiayaan dari RM50,000 hingga RM100,000.

“Antara sektor yang boleh dapat bantuan ini adalah kontraktor kecil, pertanian dan perusahaan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan dalam talian.

“Saya percaya dan yakin melalui perancangan ini kita dapat membentuk usahawan yang berdaya saing dan dapat menjamin kejayaan mereka termasuk berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Usahawan boleh memohon SPUMI Goes Big di semua cawangan TEKUN Nasional bermula 15 April ini dan ia dijangka akan memanfaatkan lebih 2,000 usahawan.

Ramanan berkata sehingga Mac lepas 28,808 usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan di bawah SPUMI sedia ada dengan nilai RM450.5 juta.

Sejak SPUMI dilaksanakan pada 2008, TEKUN Nasional telah menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta bagi melaksanakan skim berkenaan.

Ramanan seterusnya mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa Dr Gunaraj George sebagai Lembaga Pengarah TEKUN Nasional.

Selain itu ADUN Batu Uban A. Kumaresan pula dilantik sebagai Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan