AM

Sultanah Nur Zahirah Berkenan Saksi Mou Lestarikan Songket Terengganu

04/04/2024 02:39 PM

KUALA NERUS, 4 April (Bernama) -- Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan berangkat menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk kerjasama memartabatkan dan melestarikan songket tradisional Terengganu. 

Pada majlis pemeteraian MoU itu YTNZ diwakili Pengerusinya Tengku Puteri Utama Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah Sultan Mizan, manakala UniSZA diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Fadzil Adam.

Fadzil dalam kenyataannya berkata menerusi MoU itu pihaknya melalui Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) akan melaksanakan kursus akademik, pembangunan produk komersial, kajian, perundingan dan promosi berkaitan songket tradisional Terengganu yang menjadi khazanah seni negeri ini.

Beliau berkata kerjasama itu juga bagi menyokong usaha YTNZ dalam memelihara dan memulihara kraf songket warisan Terengganu agar sentiasa malar segar di bawah naungan Sultanah Nur Zahirah.

"MoU ini adalah hasil atau kesinambungan daripada hubungan baik antara YTNZ dengan UniSZA yang terjalin ketika mempromosikan kraf songket sebelum ini,” katanya.

Menurutnya kerjasama itu juga amat tepat pada masanya kerana mampu memperkukuh jaringan serta keterlibatan yang produktif, bersistem dan lestari antara universiti tempatan dengan industri kraf tempatan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan