EKONOMI

Schneider Electric, Nvidia Mahu Perkenal Reka Bentuk Rujukan Pusat Data Ai 

05/04/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Schneider Electric menjalin kerjasama dengan NVIDIA bagi mengoptimumkan infrastruktur pusat data serta membuka jalan bagi kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berkembar digital.

Peneraju transformasi digital pengurusan tenaga dan automasi itu berhasrat memperkenalkan reka bentuk rujukan pusat data AI pertama yang ditawarkan secara terbuka selain menjadi takrifan semula penanda aras penggunaan dan pengoperasiannya dalam ekosistem pusat data.

Naib Presiden Eksekutif Schneider Electric Pankaj Sharma menyifatkan kerjasama itu sebagai membuka jalan bagi masa depan lebih cekap, mampan dan transformatif yang dikuasakan oleh AI.

"Menerusi gabungan kepakaran kami dalam penyelesaian pusat data dengan kepakaran NVIDIA dalam teknologi AI, kami bersedia membantu organisasi untuk mengatasi had infrastruktur pusat data dan menyerlahkan potensi penuh AI," katanya dalam kenyataan.

Di bawah fasa pertama, Schneider Electric memperkenalkan reka bentuk rujukan pusat data termaju yang disesuaikan untuk kluster pengkomputeran dipercepatkan NVIDIA dan direka untuk pemprosesan data, simulasi kejuruteraan, automasi reka bentuk elektronik, reka bentuk bantuan komputer dan AI generatif.

Ini merangkumi tumpuan khusus pengupayaan pengedaran kuasa tinggi, sistem penyejukan cecair dan kawalan dalam memastikan pentauliahan mudah dan operasi untuk kluster berketumpatan ekstrem. 

Sebagai tambahan reka bentuk rujukan itu, AVEVA yang juga anak syarikat Schneider Electric, akan menghubungkan platform berkembar digitalnya kepada NVIDIA Omniverse dalam menyediakan persekitaran bersepadu untuk simulasi dan kerjasama maya. 

Penyepaduan itu membolehkan kerjasama lancar antara pereka bentuk, jurutera dan pihak berkepentingan, mempercepat reka bentuk dan penggunaan sistem kompleks selain menjimatkan masa ke pasaran serta kos.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan